Naib Presiden MIC mahu PDRM bertegas terhadap pihak yang ingkar pada peraturan Perintah Kawalan Pergerakan

1

Naib Presiden MIC, Dato’ T Murugiah menggesa Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa supaya memperketatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 kerana masih ada orang ramai yang tidak patuh dengan arahan terbabit.

“Akta Polis 1967 dan arahan kerajaan seolah olah tidak memberi kesan kepada mereka dan masih berhimpun serta berjumpa dengan rakan-rakan di kedai makan.

“Sehubungan itu, pihak berkuasa harus memperketatkan lagi peraturan yang telah dikeluarkan,” ujar beliau.

Tambahnya, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab bagi mengekang wabak ini dengan mematuhi arahan kerajaan.

Menurutnya, ia bukan perkara yang ringan dan harus dipatuhi setiap rakyat Malaysia serta sesiapa sahaja yang bermastautin ataupun berada di negara ini.

Beliau turut berharap pihak berkuasa lebih serius memastikan semua yang terlibat mematuhi arahan dan semoga pihak berkuasa mengeluarkan saman terhadap sesiapa yang tidak mematuhi arahan.

“Ia tidak dapat diterima apabila ada pihak yang degil dan sengaja mencabar arahan pihak berkuasa.

“Pihaknya berharap supaya semua pihak patuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan ini dan bertanggungjawab dalam membendung wabak ini bersama-sama,” katanya.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply