Tuesday, May 14, 2024
HomeBERITAKes COVID-19 pertama di Wisma Putra - Menteri Luar Negeri

Kes COVID-19 pertama di Wisma Putra – Menteri Luar Negeri

Satu kes positif COVID-19 telah direkodkan melibatkan kakitangan Wisma Putra, Kuala Lumpur.
Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein dalam satu kenyataan berkata pada 29 Mei (Jumaat), Wisma Putra dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan satu kes positif COVID-19 melibatkan seorang kakitangan kementerian berkenaan dan ini merupakan kes pertama di Wisma Putra.

“Kakitangan ini dikesan positif COVID-19 setelah menjalani saringan kesihatan yang dijalankan KKM bertempat di Wisma Putra.

“Sebelum menjalani saringan ini, mangsa tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom COVID-19 seperti demam, selsema, batuk atau sakit tekak.

“Mangsa kini telah ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Wisma Putra turut mengenalpasti sejumlah kakitangan dari beberapa bahagian di Wisma Putra termasuk Pejabat Menteri yang mempunyai kontak rapat (close contact) dengan mangsa.

Kesemua kontak rapat ini telah diarahkan menjalani saringan kesihatan yang dikendalikan KKM pada hari ini, (30 Mei).

Selain itu, mereka juga akan menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari bermula hari ini.

Susulan pengesanan kes pertama ini, kerja-kerja nyahkuman di premis Wisma Putra dengan kerjasama KKM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan dilakukan serta-merta.

“Semua tindakan yang diambil Wisma Putra ini adalah berpandukan Standard Operating Procedures (SOP) pencegahan penularan pandemik COVID-19 seperti yang ditetapkan KKM.

“Wisma Putra juga telah dan akan terus memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi dan penjagaan kesihatan yang ketat dilaksanakan pada setiap masa,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan semua kakitangan dan pelanggan yang berurusan dengan kementerian terbabit agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan KKM termasuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan dengan memakai topeng muka, membasuh tangan dengan sabun atau hand sanitizer, memastikan penjarakan sosial serta sentiasa memeriksa suhu badan.

Beliau turut menegaskan Wisma Putra sentiasa komited dalam memastikan premis dan seluruh warga kerja bebas dari COVID-19.

Untuk itu, Wisma Putra akan terus bekerjasama rapat dengan KKM bagi menangani penularan COVID-19 termasuk di kementerian berkenaan.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments