Dato T Murugiah saran Presiden MIC terus diberi peluang berkhidmat dalam sektor kerajaan

0

Naib Presiden MIC, Dato’ T Murugiah menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri S. Vigneswaran kerana telah berjaya membawa nama MIC ke peringkat lebih baik setelah banyak pengorbanan dilakukan demi negara, bangsa dan semua rakyat Malaysia.

Khidmat Tan Sri S. Vigneswaran sebagai Yang Di-Pertua Dewan Negara sejak dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong sejak 2014 dan dilantik semula pada tahun 2017 serta akan tamat pada 22 Jun ini.

“Selama beliau memegang jawatan itu, perkhidmatannya begitu cemerlang dan sentiasa memberi yang terbaik kepada semua Ahli Dewan Negara.

“Menasihat dan menegur bila perlu dalam memastikan semua dasar dan peruntukan yang dibahas oleh Senator kedengaran sama lantang dan dilulus atau ditolak mengikut kepentingan rakyat.

“Secara peribadi, dari kaca mata saya, jasa beliau sejak menjadi Presiden MIC bukanlah sedikit malah semasa pandemik COVID-19, beliau telah melakukan pelbagai usaha dan menaja 18 penerbangan ehsan yang membawa rakyat Malaysia dari India pulang ke negara kita tanpa mengira bangsa dan agama.

“Usaha beliau menjalankan kerja kebajikan dan menghantar makanan dan keperluan kepada yang memerlukan dan para barisan hadapan menjadi kebiasaan kepada parti MIC membantu Pakatan Nasional menyantuni rakyat, malah beliau akan memastikan semua yang memerlukan mendapat sumbangan yang diperlukan dan jentera akan terus digerakkan bagi mencari setiap insan yang memerlukan sekaligus menjadikan MIC semakin dekat dihati rakyat,” ujar beliau.

Tambah beliau hasil Skim ‘UTAVI’ yang ditubuhkan demi untuk kebajikan dan pembelaan komuniti India juga banyak membawa MIC semakin dekat dengan rakyat disemua peringkat.

Oleh kerana itu, beliau yakin dengan keadaan terkini dan perkembangan semasa ini, MIC akan menjadi pilihan 85 peratus masyarakat India jika pilihan raya diadakan dan sejak menjadi sebahagian daripada keluarga MIC, beliau melihat kesungguhan Tan Sri Vicky sebagai seorang Presiden MIC yang penuh bertanggungjawab.

Tan Sri Vicky juga tidak pernah lupa membuat pertemuan dengan kepimpinan tertinggi bukan untuk melobi dirinya tetapi lebih kepada nasib pemimpin India dalam MIC yang turut banyak berkhidmat dan hasilnya, disetiap peringkat pusat, negeri dan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kedudukan pemimpin MIC tidak pernah ketinggalan.

“Saya mencadangkan agar kerja-kerja Tan Sri Vicky ini terus kita martabatkan bagi memberi semangat untuk beliau meneruskan khidmatnya diplatform lain.

“Tidak salah jika beliau diberi apa jua jawatan yang setimpal jasanya dan jawatannya selaku Presiden bagi beliau meneruskan legasinya membantu lebih ramai rakyat Malaysia kerana apa juga keputusan kerajaan PN, sudah tentu MIC terima dengan hati terbuka.

“Cuma kami diperingkat kepimpinan mengharapkan pengorbanan Presiden yang kami kasihi ini diberi penghargaan setimpal dan sekali lagi, syabas kepada Tan Sri Vicky sekali lagi dan jutaan terima kasih kerana membawa MIC sebaik hari ini,” ujar beliau lagi.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply