Tuesday, May 14, 2024
HomeBERITAAcryl Sani dilantik Ketua Polis Negara baharu

Acryl Sani dilantik Ketua Polis Negara baharu

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa Selasa ini.

Pelantikan Datuk Seri Acryl Sani itu adalah untuk menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang akan tamat kontrak perkhidmatan pada 3 Mei ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selepas menerima nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Saya hendak memaklumkan proses terbabit dilakukan SPP dengan dipersetujui semua ahli suruhanjaya yang dipengerusikan oleh saya.

“Semua bersetuju Acryl Sani diangkat sebagai Ketua Polis Negara yang baharu. Malah, Abdul Hamid turut bersetuju,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri, siang tadi.

Pelantikan Datuk Seri Acryl Sani itu berkuat kuasa hingga 3 Oktober depan apabila tamat tempoh perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Untuk rekod Datuk Seri Acryl Sani dilahirkan pada 3 Oktober 1961 di Petaling Jaya, Selangor, dan memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia serta Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian).

Beliau menyertai PDRM pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Asisten Superintendan (ASP).

Sepanjang tempoh perkhidmatan dalam PDRM, beliau berpengalaman memegang pelbagai jawatan, termasuk Timbalan Ketua Polis Daerah, Komandan Maktab PDRM, Ketua Polis Terengganu dan Perak serta Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Datuk Seri Acryl Sani juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah dan Timbalan Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), selain menyandang jawatan Timbalan Pengarah di Jabatan Pengurusan.

Seterusnya, beliau memegang jawatan Pengarah beberapa jabatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos 2020.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments