Zuraida diberi 14 hari untuk jawab surat tunjuk sebab atas dakwaan salah laku disiplin parti

0

Setiausaha Agung PKR, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Zuraida Kamaruddin diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab atas dakwaan salah laku disiplin yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin parti.

“Zuraida diberi masa 14 hari untuk memberi penjelasan, sama ada dilakukan pendengaran atau digugurkan itu adalah kuasa Lembaga Disiplin, di bawah Datuk Ahmad Kasim,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, selain isu Zuraida, Lembaga Disiplin parti membuat keputusan menggantung keanggotaan Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz yang ditahan polis bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, berkata hasil mesyuarat bersama 11 Pengerusi PKR negeri, menuntut supaya Naib Presiden PKR berkenaan dipecat daripada parti kerana secara terang-terangan menghina Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Johari memberitahu jika Zuraida tidak boleh mematuhi undang-undang parti adalah perlu Ahli Parlimen Ampang itu dipecat.

“Ini adalah ketetapan diambil pengerusi-pengerusi parti negeri serta akar umbi yang menuntut Zuraida dipecat walau apa pun alasan yang diberikannya. Buat apa simpan orang seperti ini,” katanya.

Aduan membabitkan Zuraida diterima sejurus Kongres PKR yang berlangsung di Melaka, berakhir Disember tahun lalu.

Terdahulu, kekecohan berlaku di hadapan ibu pejabat PKR ketika mesyuarat MPP berlangsung membabitkan penyokong Zuraida serta satu kumpulan yang mendesak tindakan diambil terhadap Naib presiden PKR itu.

Satu kumpulan melaungkan ‘hidup Zuraida’ manakala satu lagi kumpulan melaungkan ‘pecat Zuraida’ sambil memegang sepanduk.

Malah, tercetus adegan tarik menarik sepanduk antara kedua-dua kumpulan terbabit namun keadaan ditenangkan dengan kehadiran polis yang mengawal di sekitar lokasi terbabit dan bersurai jam 12 tengah hari sebentar tadi.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply