Ziyad minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, penyertaan F20 dibatalkan

0

“Saya minta maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan pada saya”.

Demikian status terbaharu jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Instagram miliknya selepas penyertaannya di Paralimpik Tokyo dalam kategori F20 dibatalkan.

Terdahulu penyertaan Ziyad dibatalkan selepas dia serta dua lagi peserta dari Ecuador dan Australia menerima protes daripada kem Ukraine kerana lambat memasuki ‘Call Room’ atau ruang menunggu atlet sebelum turun beraksi.

Sementara itu, Olahraga Para Dunia dalam satu kenyataan hari ini berkata, rayuan ketiga-tiga atlet iaitu Ziyad serta dua atlet Ecuador dan Australia yang beraksi dalam acara final F20 semalam ditolak oleh juri rayuan Olahraga Para Dunia.

Alasan badan induk itu, ia berdasarkan kepada Peraturan 5.5 Olahraga Para Dunia iaitu ‘Gagal melaporkan diri ke Call Room’ yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir ke ‘Call Room’ pada waktu yang sesuai seperti yang ditetapkan dalam jadual Call Room, keputusan yang akan ditunjukkan adalah DNS (tidak bermula).

Di ruangan komen, ramai pengikut media sosial, selebriti termasuk jaguh badminton negara atlet, Datuk Lee Chong Wei menitipkan kata semangat buat Ziyad.

Ziyad mencetuskan kegembiraan seketika buat kontinjen negara semalam di Stadium Olimpik apabila mengungguli acara berkenaan dengan melakar rekod dunia 17.94m sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pembatalan penyertaan Ziyad menyaksikan peserta dari Ukraine, Maksym Koval yang sebelum ini menduduki tempat kedua, meraih pingat emas dengan catatan 17.34m sekali gus rekod baharu dunia.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply