Wisma Putra adakan pertemuan bersama Duta Besar Palestin, minta penjelasan isu kutipan sumbangan Masjid Al-Aqsa

0

Kementerian Luar (Wisma Putra) memandang serius beberapa isu yang dilaporkan media berhubung dengan kenyataan Duta Besar Palestin ke Malaysia mengenai isu sumbangan untuk Masjid Al-Aqsa Palestin yang telah menimbulkan pelbagai reaksi terutamanya daripada badan-badan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat madani di Malaysia.

Susulan itu Wisma Putra telah mengadakan pertemuan bersama Duta Besar Palestin bagi mendapatkan penjelasan.

Menurut Duta Besar Palestin, kenyataan dibuat berdasarkan rekod daripada pihak pengurusan Masjid Al-Aqsa sejak 2018.

Namun begitu, beliau tidak dapat membuktikan sama ada kutipan derma telah dibuat khusus untuk disalurkan kepada Jabatan Wakaf Masjid Al-Aqsa yang diuruskan oleh Kerajaan Jordan.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu kerajaan mengambil maklum kenyataan gabungan badan-badan bukan kerajaan yang menyatakan antara lain dimana dana kutipan daripada rakyat Malaysia dan bantuan kepada rakyat Palestin disalurkan terus melalui badan bukan kerajaan di Palestin malahan sumbangan ini turut melibatkan bantuan kepada penduduk Palestin di sekitar Masjid Al-Aqsa terutama pada bulan Ramadan.

Kementerian Luar menyokong dan menghargai usaha-usaha murni yang telah dilaksanakan oleh badan-badan bukan kerajaan di Malaysia dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat Palestin yang meliputi bantuan kewangan, makanan, perubatan, pendidikan dan lain-lain.

“Sememangnya Kementerian ini mempunyai hubungan baik dengan beberapa badan bukan kerajaan dan sentiasa memudah cara serta membantu usaha mereka menyalurkan bantuan kepada Palestin.

“Kementerian ini juga menggalakkan badan-badan bukan kerajaan yang lain untuk turut mendapatkan kerjasama Kementerian ini bagi melestarikan bantuan dari Malaysia untuk rakyat Palestin.

“Kerajaan dan rakyat Malaysia menyokong kuat perjuangan rakyat Palestin untuk mendapat kebebasan dan mencapai kemerdekaan,” kata pihak kementerian dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang masih dijajah dan ditindas oleh rejim Israel di wilayah Palestin di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis, dan juga Semenanjung Gaza.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel Untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply