Warga tempatan, warga asing perlu bayar Fi ujian COVID-19 jika masuk ke Malaysia

0

Pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan pengenalan Fi ujian pengesanan penyakit COVID-19 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi Bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019) (CovID-19) di Pintu Masuk Antarabangsa dan Fasiliti Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia berkuat kuasa pada 29 Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Adham Baba berkata selaras dengan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan terbabit, warga tempatan mahu pun warga asing yang memasuki Malaysia dari luar negara hendaklah membayar Fi bagi ujian pengesanan COVID-19 sebelum mendapat pelepasan imigresen di mana-mana pintu masuk negara.

“Selain itu, mana-mana warganegara atau orang asing yang berada di Malaysia boleh meminta untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di mana-mana hospital kerajaan atau-klinik KKM dan hendaklah membayar Fi bagi ujian pengesanan COVID-19,” ujar beliau.

Beliau turut berkongsi Fi ujian makmal pengesanan penyakit COVID-19 yang merangkumi beberapa jenis ujian antaranya :

1) Tindak balas berantai polimerase.
Fi warganegara : RM150.00
Fi warga asing : RM250.00

2) Kit ujian pantas antigen
Fi warganegara : RM60.00
Fi warga asing : RM120.00

3) Kit ujian pantas antibodi
Fi warganegara : RM30.00
Fi warga asing : RM60.00

Ujian pengesanan penyakit COVID-19 yang dilakukan dipintu masuk antarabangsa dan fasiliti KKM akan menggunakan teknik tindak balas berantai polimerase atau kit ujian pantas antigen mengikut kesesuaian semasa.

Menurut beliau lagi, ketika ini ujian kit ujian pantas antibodi digunakan ke atas individu yang diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah pada hari ke-13, sebelum mereka dilepaskan dari perintah berkenaan pada hari ke-14.

KENYATAAN MEDIA Menteri Kesihatan Malaysia3 Julai 2020- – – – – – – – – – – – – – – – – – – – Pengenalan Fi Ujian…

Posted by Dr Adham Baba on Thursday, 2 July 2020

Selain itu, beberapa kategori warganegara Malaysia daripada golongan ini adalah diketepikan daripada Fi.

Yang pertama, pegawai kerajaan yang memasuki Malaysia dari luar negara atas tugasan rasmi di luar negara.

Namun pegawai berkenaan hendaklah mengemukakan surat arahan rasmi berhubung perkara terbabit sebagai bukti dan pengecualian ini tidak terpakai kepada ahli keluarga pegawai.

Yang kedua adalah Orang Kurang Upaya (OKU) yang memasuki Malaysia dari luar negara.

Individu ini juga hendaklah mengemukakan kad OKU yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pengecualian tidak terpakai kepada ahli keluarga OKU.

Manakala yang ketiga adalah pelajar warganegara Malaysia, persendirian atau mempunyai penajaan yang memasuki Malaysia dari luar negara kali pertama.

Pelajar ini juga perlu mengemukakan bukti pengajian bagi mengelakkan sebarang cas Fi ujian dikenakan.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply