Warga Malaysia terkandas di Arab Saudi dijangka tiba pagi esok

0

Seramai 88 rakyat dari pelbagai negara yang terkandas di Arab Saudi akibat penggantungan penerbangan dan sekatan perjalanan sebelum ini akan diterbangkan ke Malaysia dan dijangka tiba 12.30 pagi esok.

Daripada jumlah itu, 80 terdiri daripada warga Malaysia, empat warganegara Brunei, seorang rakyat Indonesia dan Singapura serta dua dari Syria yang bertaraf penduduk tetap.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan media berkata, kesemua mereka akan dibawa pulang menaiki sebuah pesawat khas Saudi Arabian Airlines yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Arab Saudi.

Pesawat khas ini dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.30 pagi nanti (11 April 2020) dan setibanya di KLIA rakyat Arab Saudi yang berada di Malaysia juga akan dibawa pulang menggunakan pesawat yang sama ke negara mereka.

Sehubungan kerjasama kerajaan Arab Saudi dalam membantu memudahkan tatacara membawa pulang rakyat Malaysia, Dato’ Hishammuddin selaku wakil dari Malaysia turut mengucapkan jutaan terima kasih terhadap kerajaan Arab saudi yang telah berjuang bersama-sama Malaysia menangani perkara ini sepanjang krisis COVID-19.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat Kerajaan Arab Saudi khususnya Raja Arab Saudi yang juga penjaga dua Masjid Suci, Baginda Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud atas perkenan Baginda untuk membantu Malaysia di saat getir ini.

“Terima kasih juga kepada Putera Mahkota merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Yang Teramat Mulia Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud yang amat prihatin demi memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi dijaga dengan baik.

“Saya juga secara peribadi turut berterima kasih kepada Menteri Luar Arab Saudi, Yang Mulia Putera Faisal bin Farhan Al Saud kerana sewaktu “video conferencing” kami pada tiga minggu lalu Putera Faisal telah menyuarakan tekad Arab Saudi untuk berjuang bersama-sama Malaysia Sepanjang krisis COVID-19.

“Perkara ini sekaligus telah membuktikan betapa akrabnya hubungan Malaysia dan Arab Saudi melalui Kementerian Luar Negeri, Malaysia akan memastikan hubungan baik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara ini terus utuh dan berkekalan,” ujar beliau.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply