Warga emas mengaku salah lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak

0

Seorang lelaki warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas pertuduhan melakukan kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, Jun tahun lalu.

Tertuduh, 61, yang juga seorang buruh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas  pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Perbuatan itu dilakukan di halaman sebuah rumah di Selising, dekat Pasir Puteh, kira-kira 2 petang, pada Jun 2020.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana lelaki itu adalah kenalan kepada bapa mangsa.

Mahkamah kemudiannya memberi jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan lapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Ahmad Bazli menetapkan tarikh 20 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan jatuh hukuman.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply