Wani Syaz lancar video muzik ‘Habibi’

0

Percubaan penyanyi Wani Shaz atau nama sebenarnya Nursyzwani Selamat menari dalam muzik video lagunya yang berjudul ‘Pendusta Cinta’ menerima reaksi berbeza daripada penonton. Ada menyukainya, tidak kurang juga ramai yang mengecam.

Wani yang ditemui dalam sidang media pelancaran lagu terbarunya ‘Habibi’, tampil memberi penjelasan.

Menurutnya, jika dilihat dari sudut positif, tindakan berani yang diambil sebenarnya bersesuaian dengan lagu terbabit malah penampilan begitu menampakkan kematangannya.

“Sebagai anak seni, saya kena berani mencuba walaupun sedikit malu pada peringkat awal.

“Namun setelah mencuba, saya rasa selesa dan best pula.

“Jika tak cuba saya tak akan keluar dari zon selesa saya. Bimbang nanti peminat akan bosan,” jelasnya.

Gadis berusia 23 tahun yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini turut menzahirkan rasa syukur kerana muzik videonya itu kini mencecah 26 juta tontonan di YouTube.

Pada sidang media berkenaan, Wani turut mempertontonkan muzik video single kesembilan yang akan dilancarkan di saluran YouTube FMC Music tepat jam 8 malam hari ini.

SingLe terbaharu ini, Wani Syaz mempertaruhkan lagu berkonsepkan padang pasir dengan sentuhan moden yang berjudul ‘Habibi’.

Lagu ciptaan dan lirik oleh DJ Fuzz, Aziquebeats dan Waris ini merupakan lagu kedua Wani Syaz bergandingan bersama penyanyi Rap, Waris.

Menurutnya, secara peribadi dirinya tiada masalah untuk menyampaikan lagu berirama padang pasir yang diterapkan sentuhan moden dan merupakan genre kegemaran Wani serta sangat bersesuaian dengan vokalnya.

“Semoga lepas tonton muzik video Habibi ini nanti, tiada yang akan kecam saya. Berilah peluang Wani keluar dari kotak dan zon selesa saya.

“Kalau boleh dimasa akan datang Wani nak cuba genre yang jauh lebih berbeza agar dapat buktikan dan cabar kemampuan vokal Wani.

“Wani berharap lagu ‘Habibi’ ini mendapat tonton yang lebih tinggi berbanding muzik video Pendusta Cinta yang mencecah 26 juta tontonan,” ujarnya.

Untuk rekod, karier perjalanan seni Wani bermula lapan tahun lalu dengan mempertaruhkan single pertamanya berjudul ‘I Cinta Jer’ manakala lagu ‘Lepaskan’ yang berjaya menaikkan namanya disusuli lagu ‘Alhamdulillah’.

Wani juga pernah mencipta lagu berjudul ‘Sinar Terindah’ dan menyampaikannya secara duet bersama Wany Hasrita.

Manakala menerusi lagu ‘Lepaskan’, ‘Alhamdulillah’ dan ‘Kembalilah’, Wani digandingkan bersama Juzzthin dan ‘Pendusta Cinta’ digandingkan bersama Waris.

Semoga berjaya Wani!

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply