[VIDEO] “Kalau dia hulur, ambil. Tapi undi tetap BN” – Najib Razak

0

KIMANIS: Bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional mahukan pemimpin yang konsisten.

Budaya lompat melompat ini tidak molek kerana prinsip perjuangan, maruah tidak boleh dibeli.

“Kita nak orang lama konsisten, kita tak nak lompat melompat ini kerana prinsip perjuangan maruah tidak boleh dibeli. Kalau ada yang ketuk pintu jaga sikit, kalau hulur ambil, tapi undi tetap BN sebab maruah tak boleh digadai”, kata Dato’ Seri Mohd Najib sambil berseloroh.

Tambahnya BN punya calon yang baik Datuk Mohamad Alamin, 48 tahun manakala Pakatan Harapan pula mempertaruhkan calon lama Datuk Karim Bujang dari WARISAN, 66 tahun.

“Kita ada calon baik, Datuk Alamin dia lawan kuda tua, 5 penggal. Kita bagi rehatlah. Saya puji Dato’ Anifah Aman tak jadi calon dia kempen BN tak nak anak cucu terkorban. Siapa calon tak penting yang penting perjuangan”, katanya.

Dato’ Seri Mohd Najib berkata semasa BN memerintah, di mana beliau adalah Perdana Menteri ketika itu, kerajaan telah merangka pembangunan strategik Lebuhraya Pan-Borneo dengan peruntukkan sebanyak 16 Bilion ringgit kerana beliau impikan pembangunan Sabah dan Semenanjung hampir sama suatu hari nanti.

Dan tuduhan Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Shafie Apdal bahawa BN tidak bela rakyat Sabah ibarat beliau meludah ke langit.

“Saya impikan satu hari pembangunan Sabah dan Semenanjung hampir sama. Saya buat Pan Borneo 16 bilion saya tak minta duit dari rakyat Sabah kerana tol tiada. Saya bagi jawatan penting untuk Dato’ Seri Shafie Apdal sebagai Menteri Luar Bandar. Dia tak boleh kata BN tak bela rakyat kerana bermaksud pada ketika itu dia tidak bela rakyat. Jangan ludah langit nanti kena muka sendiri”, katanya.

Tambahnya walaupun Pilihanraya Kecil Kimanis ini tidak akan menukar kerajaan namun ia akan memberi signal kepada kerajaan sedia ada bahawa rakyat Kimanis menolak PH.

Kerajaan PH tambah Dato Seri Najib telah banyak memungkiri janji dan ramai yang sudah serik ditipu dengan janji kosong PH.

“Parti yang menang atas penipuan, janji palsu dan fitnah tak ada berkatnya dari Allah SWT sebab kalau kita menang dengan pembohongan janji cakrawala bulan bintang, janji macam-macam hari ini habuk pun tak ada”, katanya.

Turut dipersoalkan Dato’ Seri Mohd Najib tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM kerana mendedahkan rakaman audio percakapan beliau ketika lalu dengan ketua kerajaan lain di mana jelas akan merosakkan kepercayaan luar kepada Institusi Kerajaan Malaysia.

“Bila ada video tak boleh cam, budak sekolah dapat cam. Yang tak patut dedah dia dedahkan. Suara saya bercakap dengan ketua kerajaan didedahkan. Ini merosakkan kepercayaan kepada Institusi Kerajaan. Kita kena betulkan, walau ini PRK takleh tukar kerajaan tapi bagi signal kepada mereka untuk ubah balik pada BN”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah santai di hadapan 500 penduduk Binsulok, Kimanis siang tadi.

Leave a Reply