Usah curi-curi balik kampung – TPM

0

Kerajaan menasihati orang ramai supaya tidak curi-curi pulang ke kampung dan kekal duduk di rumah supaya tidak dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, peningkatan kes serta kluster yang disebabkan pergerakan rentas negeri dan ziarah pada Aidilfitri lalu perlu dijadikan iktibar.

Ia supaya semua pihak tidak mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selari usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Petugas keselamatan negara diarah bersiap sedia untuk menghadapi pertambahan kenderaan yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran.

“Langkah itu diambil bagi berdepan kemungkinan orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Aidiladha, Selasa ini”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam melaporkan sebanyak 381,952 kenderaan diperiksa di sekatan jalan raya seluruh negara.

“Untuk rekod, jumlah bilangan kenderaan diarahkan berpatah balik paling tinggi dicatatkan pada 16 Julai lalu, iaitu sebanyak 4,839 sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan”, katanya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Ismail yang juga Menteri Pertahanan berkata kerajaan meningkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh, mencakupi aspek pemeriksaan kilang dan premis perniagaan.

Ini kerana terlalu banyak pelanggaran arahan serta prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan semalam melaksanakan 74,793 pemeriksaan dan penguatkuasaan mengejut COVID-19 di seluruh negara, dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,645 orang.

“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,993 buah kilang, 16,569 premis perniagaan, 506 tapak pembinaan dan 243 asrama penempatan pekerja.

“Hasil pemeriksaan, 62 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Seramai 441 individu juga ditahan semalam ekoran kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 423 individu dikompaun manakala 18 lagi direman.

“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya.

Menyentuh perkembangan kawalan sempadan negara, Ismail berkata petugas keselamatan menerusi Operasi Benteng memberkas 13 pendatang tanpa izin (PATI) dan merampas dua kenderaan darat. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply