Undi Percaya Dan Undi Tidak Percaya

0

Oleh : Salleh Said Keruak

1. Dalam sistem demokrasi berparlimen, tidak pernah ada parti pembangkang yang membentangkan usul ‘undi percaya’ kepada kerajaan. Yang ada ialah parti pembangkang membentangkan usul ‘undi tidak percaya,’ khususnya apabila kerajaan gagal melaksanakan kewajibannya, atau memerintah dengan cara yang merugikan negara.

2. Jika parti pembangkang boleh membentangkan usul ‘undi tidak percaya’, bagaimana pula dengan kerajaan? Usul apakah yang boleh mereka lakukan? Bagi kerajaan, biasanya mereka melakukan ‘undi percaya’ apabila menghadapi krisis ketidak yakinan rakyat terhadap dasar belanjawan atau lain-lain dasar mereka. Tujuannya adalah untuk membuktikan dasar pemerintahan mereka mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

3. Apakah kesannya jika ‘undi percaya’ ini gagal? Di UK, jika kerajaan gagal mendapat undi percaya, mereka memiliki empat pilihan.

4. Pertama, Ratu membubarkan Dewan dan mengadakan pilihan raya umum baharu. Hal ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan. Kedua, kerajaan atau pembangkang membentangkan ‘usul percaya’ di bawah The Fixed-Term Parliament Act (FTPA), namun hal ini belum pernah berlaku. Ketiga, PM meletakkan jawatan. Keempat, kerajaan terus memerintah, namun ini bergantung kepada sama ada parti pembangkang membentangkan usul tidak percaya sekali lagi yang lebih eksplisit.

5. Di Malaysia, bolehkah parti pembangkang membentangkan usul ‘undi percaya’? Hal ini janggal kerana tidak pernah berlaku. Yang berlaku ialah parti pembangkang membentangkan usul ‘undi tidak percaya’.

6. Pertanyaannya, apakah yang akan terjadi jika parti pembangkang membentangkan juga usul ‘undi percaya’ ini? Jika ini berlaku, maka Peraturan 62(1) Standing Orders menetapkan Speakerlah yang mempunyai kuasa membenarkan atau menolak usul ini. Dalam hal ini, sebelum membuat keputusannya, Speaker akan menilai tiga perkara berikut, iaitu usul itu mestilah perkara tertentu, melibatkan kepentingan ramai dan perlu disegerakan.

7. Bagaimana pula dengan ‘undi tidak percaya’? Usul ini tidak pelik kerana ia pernah dibentangkan sebelum ini, iaitu di DUN Sarawak pada tahun 1966, di Selangor pada tahun 1976, dan di Kelantan pada tahun 1977. Ketiga-tiga undi tidak percaya ini berakhir dengan KM dan MB meletakkan jawatan.

8. Maksud kenyataan di atas sederhana. Jika usul ‘undi tidak percaya’ ini menang, maka kerajaan ada dua pilihan. Pertama, Ketua Kerajaan dan seluruh kabinet meletakkan jawatan, bermaknanya kerajaan jatuh. Kedua, DYMM Yang diPertuan Agong membubarkan Dewan supaya sebuah pilihan raya baharu boleh diadakan.

*Datuk Seri Panglima Dr Mohamed Salleh bin Tun Haji Mohamed Said Keruak pernah menjawat jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah ke-9 dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 2015 sehingga 2018. 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply