UMNO terus sokong kerajaan PN, tolak kerjasama PKR dan DAP

0

Kekalkan keputusan terdahulu untuk mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selain tidak menjalin kerjasama dengan PKR dan DAP.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi, MKT UMNO malam ini.


Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan rasminya berkata parti itu juga terus menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik.

Mesyuarat juga memutuskan agar kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik COVID19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tambahnya majlis Kerja Tertinggi Umno juga menyarankan agar inisiatif Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan.

Usaha berkenaan dapat dilakukan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam kerajaan PN dan juga parti-parti pembangkang.

Selain itu, Umno turut mendokong sepenuhnya titah dan saranan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Seri Paduka bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini. –THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply