UMNO tarik balik sokongan terhadap Kerajaan PN – Zahid Hamidi

0

KUALA LUMPUR : Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuatkuasa serta merta.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkenaan adalah berpandukan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Serentak itu, beliau berkata UMNO mendesak agar Tan Sri Muhyiddin Yasin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.

“Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan kepada 7 kegagalan Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta merta.

“Justeru, UMNO mendesak agar Tan Sri Muhyiddin Yasin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MKT yang dibuat secara maya di bangunan UMNO malam tadi.

Katanya tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.

Ujarnya setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15.

Ini penting bagi membolehkan sebuah Kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam Titah Yang di-Pertuan Agong.

Tambahnya mesyuarat MKT malam ini juga menegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led Government).

Terdahulu mesyuarat MKT berlangsung selama lebih 4 jam telah membuat ketetapan iaitu mengabsahkan keputusan penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.

–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply