[VIDEO] Tun Dr. Mahathir Mohamad nafi mempelawa Parti PAS dan UMNO membentuk Pakatan Nasional #PMJawab

0

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan perkhabaran beliau mempelawa parti PAS dan UMNO untuk bergabung membentuk sebuah pakatan yang dinamakan Pakatan Nasional.

“Tak benar saya mempelawa mereka tetapi mereka sedar bahawa kedudukan mereka tu sudah hilang kekuatan, sudah hilang mereka menjadi parti yang lemah.

“Sebagai parti yang lemah, mereka terpaksa tukar pendekatan iaitu mereka sanggup sokong tetapi ada syarat walaupun tak disebut,” katanya.

Beliau turut menidakkan khabar angin mengenai penubuhan kerajaan baru melalui pakatan berkenaan.

“Ini banyak cerita-cerita yang dibuat, ini kerana saya terbuka saya jumpa dengan semua orang parti lawan baik NGO baik badan-badan agama, badan-badan perkauman kerana saya terbuka untuk mendengar pendapat mereka, kalau saya tidak tahu pendapat mereka maka masalah yang timbul tidak dapat ditangani oleh saya, itu yang berlaku.

“Tapi ada orang mentafsirkan perjumpaan saya dengan pemimpin parti lawan bermakna saya sedang berusaha untuk membuat satu campuran yang baru,” kata Tun Dr. Mahathir menjawab khabar angin panas yang sedang diperkatakan ramai.

Menurutnya, apabila sesebuah parti sudah hilang kuasa, maka parti mulai lemah dan terpaksa mengubah pendekatan lain sehingga sanggup melakukan sokongan terhadap kepimpinannya namun bersyarat.

“Syaratnya ialah kalau saya mengambil tindakan yang sesuai dengan pendapat mereka, tapi kalau tak sesuai, saya tak fikir yang mereka akan sokong.

“Umpamanya apabila kita buat keputusan iaitu Malaysia adalah gabungan tiga wilayah dan bukan negeri negeri, tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak, Semenanjung.

“Ada pendapat yang tidak menyokong daripada Sarawak, jadi tak selalunya mereka memberi sokongan cuma bila dipersetujui oleh mereka, sesuai dengan pendapat mereka saya yakin mereka akan beri sokongan,” ujar beliau.

Beliau juga menyatakan sekiranya mendapat sokongan dari pembangkang ianya memberi kesan baik kepada kerajaan.

“Ini memperkuatkan kerajaan tetapi bukanlah begitu kuat sehingga boleh buat apa sahaja keputusan dan mereka akan sokong, mereka takkan sokong.

“Kalau saya buat atau kerajaan buat satu keputusan yang bertentangan dengan prinsip prinsip mereka, sudah tentu mereka tidak akan menyokong”, tambahnya.

Tun Dr. Mahathir juga menjelaskan kegusaran beberapa pihak tentang kehadiran beliau di majlis sambutan Tahun Baru Cina parti Gerakan merupakan kunjungan atas dasar hubungan persahabatan yang sudah lama terjalin.

“Saya tahu memang parti DAP tidak senang ketika saya menghadiri majlis berkenaan.

“Bagi saya itu sosial event bukan political, saya dulu kenal dengan mereka walaupun kita punyai pendapat politik yang berbeza ini tidak bermakna bahawa hubungan kita dengan kawan-kawan kita itu perlu diputuskan,” ujarnya.

Terdahulu, timbul desas desus mengatakan akan ada pakatan baharu yang melibatkan dua parti terbesar pembangkang iaitu PAS dan UMNO bersama Tun Dr. Mahathir.

Khabar angin berkenaan makin kuat diperkatakan apabila Dato’ Lokman Noor Adam telah membuat pendedahan rakaman suara Presiden UMNO dalam satu mesyuarat tertutup bertujuan mengangkat Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Nasional.

Dilaporkan UMNO telah mengadakan mesyuarat khas membincangkan berkenaan Pakatan Nasional yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia kelmarin (7 Februari)

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Anuar Musa telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa UMNO berhasrat untuk mengekalkan gabungan bersama PAS seterusnya mengukuhkan muafakat berkenaan.

Apabila bercakap soal politik, ramalan melalui sesuatu perkhabaran akan mula diadili dan dirumus pemerhati apatah lagi apabila satu pihak mula dilihat memberi penekanan soal tarikh sahih peralihan kuasa.

Peralihan kuasa bagi jawatan tertinggi negara bukanlah sesuatu perkara yang remeh, seolah-olah kita melihat ianya satu transisi seorang Perdana Menteri seperti mewasiatkan penama dalam sesuatu kuasa.

Benarlah kata si bijak pandai, menjadi orang  politik, mental fizikal perlu bersiap sedia untuk menerima pelbagai keadaan dan cara.

– THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel Untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

Leave a Reply