Tun Dr Mahathir mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan – Anwar Ibrahim

0

Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberitahu telah berbincang mengenai peralihan kuasa dalam satu pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya bertemu Perdana Menteri di Putrajaya sekembalinya saya dari Port Dickson.

“Dalam pertemuan tersebut saya dan Tun Dr Mahathir Mohamad membincangkan mengenai peralihan kuasa,” kata Anuar dalam satu kenyataan.

Beliau yang turut dikatakan bakal Perdana Menteri yang akan menggantikan kepimpinanan Tun Dr Mahathir juga membangkitkan isu apabila ada usaha dari parti pembangkang iaitu PAS, sekumpulan dari UMNO dan sebilangan kecil dari KEADILAN sendiri dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

Anwar turut memberitahu, Tun Dr Mahathir tidak terlibat dalam usaha terbabit malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan.

“Saya cenderung agar beliau terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini.

“Saya turut memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa memandangkan wujud muslihat licik sedemikian maka pimpinan PH dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018, yakni tegas menyokong kepimpinannya selaku Perdana Menteri Ke-7 dan saya sebagai Perdana Menteri Ke-8, ujarnya.

Tambahnya, beliau turut mengingatkan bahawa selama hampir dua tahun usia Pakatan Harapan (PH), muafakat yang termeterat tidak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu- KEADILAN, DAP, AMANAH dan PPBM.

Suasana politik negara semakin hangat apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan sudah menjadi kelaziman mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi memerlukan seseorang yang ingin menjadi Perdana Menteri harus mendapat sokongan majoriti.

Dalam temubual eksklusif The Malaya Post Sabtu lalu, beliau turut menyatakan tanpa sokongan majoriti, pemimpin berkenaan tidak akan kekal lama.

Kepada soalan berkenaan transisi kuasa yang bakal berlaku dan tindakan parti pembangkang yang menyatakan sokongan terhadap Tun Dr. Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal, berikut pandangan Tun Dr. Mahathir.

“Kita berjanji dan kita pegang kepada janji kalau pun saya nak mungkir janji saya cuma jadi PM kerana dapat sokongan daripada parti saya terutamanya daripada majoriti ahli dewan rakyat dengan itu saya dapat jadi PM.

“Kalau saya nak letak jawatan tetapi majoriti dalam dewan rakyat tolak saya, saya jatuh. Itu cara demokrasi. Yang sebenarnya ialah dewan rakyat, ahli-ahlinya, mereka boleh menentukan saya terus jadi PM ataupun tidak.

“Kalau saya kata saya tak nak letak jawatan tetapi mereka tidak sokong saya, saya jatuh. Saya tidak boleh jadi PM sebab itu yang betul-betul berkuasa ialah parti, kalau parti itu dapat majoriti tetapi kalau parti itupun tidak dapat sokongan majoriti daripada ahli dewan rakyat saya tidak boleh jadi PM,” kata Tun Dr Mahathir.

-THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply