Tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik – PM

0

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Yang pasti, tawaran dan komitmen kerajaan itu selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenai pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

Ia meliputi Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen, Pelaksanaan Undi 18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.

Ia termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Selain itu, keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membabitkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.

Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

Dalam pada itu, ahli parti pembangkang akan terbabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan dan Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri, tawaran ini juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

Transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi COVID-19 serta pemulihan ekonomi.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply