Tommy Thomas, cukup-cukuplah swastakan Pejabat Peguam Negara – Haniff Khatri

0

Peguam terkemuka yang sering mengendalikan kes berprofil tinggi, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menegur dan menuntut penjelasan ekoran tindakan Peguam Negara, AG, Tan Sri Tommy Thomas yang dilihat seringkali membuat pelantikan peguam-peguam swasta mewakili kerajaan dalam mengendalikan kes mahkamah sama ada sivil mahupun jenayah.

Antaranya kes membabitkan bekas perdana menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak serta beberapa kepimpinan kerajaan terdahulu berkaitan skandal 1MDB.

Sambil menyatakan ia adalah tabiat kurang sihat dipraktikkan kerana secara lazimnya kerajaan diwakili oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Peguam Negara iaitu timbalan-timbalan pendakwaraya kes jenayah dan peguam-peguam Persekutuan dalam kes sivil yang pada kini berjumlah kira-kita 1,200. 

“Terbaru kita dikejutkan dengan pelantikan satu lagi peguam swasta dalam tindakan sivil yang berasaskan satu undang-undang cukai yang seringkali dikendalikan oleh Peguam Persekutuan bagi pihak kerajaan, yang rata-rata peguam akan mempersetujui tidak ada apa-apa kerumitan dalam tuntutan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terutamanya memandangkan peruntukan-peruntukan dalam akta cukai pendapatan 1967.

Sememangnya lebih memihak kepada badan awam LHDN disebabkan falsafah bagi  pentadbiran mana-mana negara bergantung kepada kebolehan membuat tuntutan dan kutipan cukai yang efisien dan juga disahkan melalui pelbagai keputusan mahkamah tertinggi Malaysia dalam tuntutan cukai setakat ini”, katanya.

Beliau amat bersetuju dan yakin peguam-peguam Persekutuan di Pejabat Peguam Negara sememangnya kompeten dan berkebolehan untuk mewakili Kerajaan Malaysia sepertimana yang dilakukan tanpa keperluan melantik peguam swasta seperti kes tuntutan terhadap Dato’ Seri Mohd Najib Razak.

Menurutnya, sebagai badan awam, pegawai-pegawai Pejabat Peguam Negara sedaya upaya akan memelihara kepentingan negara dalam tuntutan sivil mahupun pertuduhan jenayah dengan sebaiknya sejak lebih 60 tahun yang lalu.

“Jika Tan Sri Tommy Thomas sendiri secara peribadi tidak berkebolehan untuk mengemudi pendakwaan-pendakwaan tertentu disebabkan ketiadaan pengalaman dalam kes-kes jenayah selama menjadi peguam swasta, pengalaman pukul bersih sebanyak 12,000 tahun di kalangan 1,200 pegawai (1,200 X 10 tahun-purata) di Pejabat Peguam Negara yang telah berfungsi lebih 60 tahun sejak merdeka untuk memelihara kedaulatan undang-undang negara, dalam menentukan mereka yang bersalah dibuktikan bersalah di mahkamah, dan yang tidak bersalah dibebaskan daripada pertuduhan jenayah semestinya juga dengan bantuan perkhidmatan Peguambela swasta yang mewakili tertuduh serta memelihara aset-aset negara untuk kepentingan rakyat di dalam kes-kes sivil.

“Saya sesungguhnya percaya ia adalah tanggungjawab Peguam Negara untuk mengeluarkan satu kenyataan rasmi menyokong dan meletakkan kepercayaannya di atas kebolehan mereka yang tidak boleh dinafikan dengan serta-merta, agar rakyat tidak dikelirukan lagi”.

Katanya kenyataan rasmi AG dalam meletakkan kepercayaan beliau terhadap kesemua pegawai di Pejabat Peguam Negara bukan sahaja satu keperluan malahan dapat menyahkan persepsi salah umum di atas tindakan Tan Sri Tommy Thomas selama ini seperti mana dibangkitkan di Parlimen merujum satu laporan oleh sebuah portal baru-baru ini.

Yang pasti ia adalah satu perkara utama dan wajib dilakukan untuk menaikkan moral dan komitmen para pegawai di Pejabat Peguam Negara yang selama ini bekerja bermati-matian tanpa mengira waktu mahupun cuti dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada negara.

Dalam pada itu, Haniff Khatri turut menitipkan pesan dan menyarankan bahawa sesuatu yang benar pada hakikatnya hendaklah diakui dan diiktiraf dan jangan sampai disamakan dengan bidalan ‘membawa resmi jagung, semakin berisi semakin tegak’.

Tambahnya lagi, persoalan kini terjurus kepada sama ada tindakan Peguam Negara melantik peguam swasta adalah kerana beliau tidak mempercayai anak-anak buahnya atau beliau sendiri sudah hilang sokongan pegawai-pegawainya sendiri.

Persoalan itu wajib diperjelaskan oleh Tan Sri Tommy Thomas.

“Kenyataan rasmi daripada Tan Sri Tommy Thomas berhubung persoalan ini adalah amat penting kerana pada hakikatnya pejabat Peguam Negara adalah satu badan awam yang menggerakkan kedaulatan undang-undang negara berdaulat dan justeru ia tidak perlu diswastakan hingga ke tahap seperti ini”, katanya.

Beliau turut bertegas mengatakan, tidak sesekali mempertikaikan kewibawaan kesemua tokoh peguam swasta yang dilantik oleh Tan Sri Tommy Thomas setakat ini antaranya,  Gopal Sri Ram, Sulaiman Abdullah, V Sithambaran, Sitpah Selvaratnam, M Puruvalen dan yang terkini berkaitan tuntutan sivil, DP Naban.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan, Dato’ Seri Mohd Najib Razak akan mencabar pelantikan peguam persendirian veteran yang mewakili kerajaan berkaitan saman cukai LHDN berjumlah RM1.69 bilion terhadapnya.

Peguam yang mewakili mantan perdana menteri,  Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyatakan hasrat anak guamnya untuk mencabar pelantikan DP Naban ketika prosiding terbuka di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Bache.

Susulan itu, pendengaran permohonan Dato’ Seri Mohd Najib Razak untuk menangguhkan saman untuk menunggu rayuan penilaian semula cukai dengan LHDN yang dijadualkan minggu lalu telah ditangguhkan.

Leave a Reply