Tokoh wartawan Tok Mat A Talib meninggal dunia

0

Bekas Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad Abd Talib meninggal dunia akibat kanser hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), petang tadi.

Allahyarham yang pernah menjawat jawatan Pengarah Eksekutif, Editorial dalam Lembaga Pengarah The New Straits Times Press (NSTP) menghembuskan nafas terakhir pada usia 69 tahun pada jam 5.42 petang selepas lebih sebulan menerima rawatan akibat penyakit dihadapinya itu.

Memetik laporan Berita Harian, anak sulungnya yang juga wartawan BH, Sophia Ahmad, 42, berkata, kali terakhir beliau berbual bersama Allahyarham adalah semalam iaitu sebelum arwah bapanya itu tidak sedarkan diri.

“Semalam pun tutur kata baba (ayah) sudah tidak begitu jelas. Baba sebelum ini ada nyatakan hasrat supaya jenazahnya dikebumikan di kawasan berhampiran rumah kami di Bandar Tasik Selatan, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sophia berkata, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Al Muqarrobin, Bandar Tasik Selatan untuk urusan selanjutnya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di kawasan itu selepas Isyak.

Allahyarham yang berasal dari Kuala Kubu Bharu meninggalkan balu, Norsimah Daud, 66, empat anak dan seorang cucu.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai wartawan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 1972; kemudian di Business Times (Malaysia) Sdn Bhd (dahulunya Kewangan Penerbitan Sdn Bhd) (1978) dan Berita Harian (1985).

Allahyarham kemudiannya melebarkan sayap kerjayanya dengan menjadi Penolong Pengarang Berita Harian pada 1987; Pengarang Berita New Straits Times; Ketua Pengarang Berita, Pengarang Bersekutu dan Penolong Pengarang Kumpulan (1991-1996).

Seterusnya Allahyarham dilantik sebagai Pengarang Kumpulan, New Straits Times (1998) ; Pengurus Besar Kumpulan dan Komunikasi dan Pemasaran Editorial (2004).

Salam takziah dari kami The Malaya Post.

“Allahummaghfirlahu, warhamhu wa’afihi wa’fuanhu”

Ya Allah, ampunilah segala dosa, sayangilah dia dan maafkan kesalahan-kesalahannya. Aamiin — THE MALAYA POST

Leave a Reply