Tok Pa dilantik Pengerusi TERAJU

0

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilantik sebagai Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 Disember 2019.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, keputusan berkenaan mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bersandarkan pengalaman menggalas pelbagai portfolio dalam pentadbiran awam sebelum ini, Dato’ Seri Azmin menaruh keyakinan percaturan untuk melantik Dato’ Seri Mustapa atau lebih mesra disapa sebagai Tok Pa, berupaya memacu usaha ke arah meningkatkan daya saing Bumiputera.

“Bersesuaian dengan peranan TERAJU sebagai sebuah agensi ulung untuk meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara, saya yakin beliau akan dapat membawa agenda ekonomi Bumiputera, seiring Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Ia sekali gus memantapkan lagi kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara. Selain dari sudut ekonomi, TERAJU mempunyai peranan besar dalam menjamin kesejahteraan hidup dan mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dato’ Seri Mustapa mempunyai rekod pengalaman dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan, malah pernah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk tempoh 2009 hingga 2018. –THE MALAYA POST

*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply