“Saya berasa amat sedih, tetapi tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang dan perlembagaan parti sendiri” – SUA BERSATU Hamzah Zainudin

0

Setiausaha Agung (SUA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dato’ Seri Hamzah Zainudin meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan dan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah yang tidak bersama dengan blok kerajaan semasa sidang parlimen pada 18 Mei lalu.

Beliau berkata, dengan tindakan Tun Mahathir duduk di blok yang tidak menyokong kerajaan semasa sidang parlimen secara tidak langsung keahlian seseorang ahli terhenti serta merta mengikut syarat perlembagaan parti.

”Saya ingin tegaskan bahawa kelima-lima mereka tidak dipecat daripada parti, tetapi keahlian mereka telah terhenti kerana melanggar perlembagaan parti.

“Susulan itu, notis pemberhentian kedudukan keahlian di dalam parti telah dikeluarkan kepada setiap daripada mereka mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3,” ujar beliau.

Dato’ Seri Hamzah turut menyatakan terdapat banyak aduan yang telah diterima mengenai salah laku mereka, antara lain adalah :

1) YB Tun Dr. Mahathir telah mengumumkan untuk masih bersama-sama dengan Pakatan Harapan sebaik sahaja Kerajaan Perikatan Nasional dibentuk dibawah kepimpinan Presiden BERSATU, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

2) YB Tun Dr. Mahathir pada 4 Mei membuat kenyataan bersama dengan ketua-ketua parti Pakatan Harapan mendesak supaya Sidang Parlimen dilanjutkan.

3) YB Tun Dr. Mahathir mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah dilantik dengan sahnya oleh YDPA.

4) YB Tun Dr. Mahathir pada 18 Mei juga mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bersama beberapa pemimpin Pakatan Harapan dengan membuat pengumuman untuk tersu berusaha menjatuhkan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata sejajar perlucutan jawatan Senator Dato’ Wira Marzuki sebagai Setiausaha Agung BERSATU yang bertarikh 18 Mac lalu, segala arahan atau kenyataan yang dikeluarkan Dato’ Wira yang mendakwa dirinya sebagai SUA BERSATU adalah tidak sah serta merupakan satu pembohongan serta menyalahgunakan kedudukan.

Justeru, beliau sebagai SUA BERSATU yang baharu menyeru semua ahli untuk merapatkan saf dan menyokong serta mendukung kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU merangkap pemangku Pengerusi sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Turut dinyatakan, beliau yakin dengan pengalaman Tan Sri Muhyiddin mampu menangani isu dan cabaran yang dihadapi negara terutamanya dalam sektor ekonomi dan politik khususnya ketika krisis penularan wabak COVID-19 yang melanda negara.

 

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply