Tiga tuntutan ditolak Lembaga Disiplin UMNO, Tun Faisal buat permohonan kedua

0

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz hari ini mendedahkan Lembaga Disiplin UMNO menolak tiga tuntutannya sebelum ‘membicarakan’ salah laku beliau sebagai anggota parti.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa itu berkata, tiga tuntutan itu dilakukan selepas mendapat nasihat daripada rakan-rakan pengamal undang-undang dan veteran UMNO bagi memastikan proses keadilan terhadapnya dapat dilaksanakan dengan telus.

Sehubungan itu, beliau melakukan permohonan kali kedua kepada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO Malaysia, Tan Sri Zul Hasnan Rafique agar mempertimbangkan semula tuntutan beliau.

Menerusi perkongsian di laman media sosialnya, beliau berkata berdasarkan kes-kes yang dibawa ke Lembaga Disiplin melibatkan pesalah kes politik wang semasa pemilihan parti, bagi kes yang hampir sama, hukumannya berbeza mengikut individu.

“Bagi individu biasa, mereka dikenakan hukuman gantung, tapi bagi individu yang mempunyai kaitan rapat dengan kepimpinan, mereka hanya diberikan amaran.

“Begitu juga kes yang melibatkan Datuk Lokman Adam. Sampai sekarang masih ada bunyi-bunyi berkaitan ketelusan dan keadilan mengenainya.

“Atas nasihat ini, saya telah membuat tiga permintaan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi membolehkan saya membuat persiapan sebaiknya untuk membela diri.

“Apabila permintaan ini ditolak, bagi saya, ini adalah ‘missed opportunity’ kepada Lembaga Disiplin untuk menunjukkan bahawa mereka telus, benar-benar terbuka dan benar-benar mahu mencari kebenaran,” kongsi beliau.

Menurutnya, tiga tuntutan ini dimohon selepas Sekretariat Lembaga Disiplin menghubunginya dan memaklumkan pihak terbabit mahu memberi seluas-luas ruang kepada beliau membela diri.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya yang menjadi kebimbangan dan ketakutan  kepada pihak Lembaga Disiplin UMNO apabila tidak menunaikan permintaan saya.

“Bukankah jika ketiga-tiga permintaan ini dipenuhi, tanggapan terhadap Lembaga Disiplin UMNO akan menjadi lebih positif? Tidakkah Lembaga Disiplin UMNO dan UMNO sendiri akan dilihat amat komited untuk berlaku adil dan bersikap telus?

“Apapun saya telah membuat permohonan sekali lagi kepada Tan Sri Zul Hasnan Rafique dan menyatakan justifikasi terhadap permintaan saya ini,” tulis beliau.

Terdahulu, Tun Faisal Ismail diarahkan mengemukakan surat jawapan balas kepada Lembaga Disiplin UMNO berhubung kenyataan terbukanya sebelum ini yang dilihat menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tun Faisal Ismail berkata, tiga permintaannya ini amat penting bagi memastikan UMNO dilihat adil dan mengenepikan persepsi Lembaga Disiplin dipergunakan untuk memenuhi kepentingan individu tertentu dalam parti.

“Surat jawapan terhadap dakwaan ke atas saya pula akan diserahkan kepada Tan Sri semasa sesi panel tribunal nanti,” katanya.

Tun Faisal Ismail dijadualkan menghadiri Tribunal Lembaga Disiplin UMNO pada 1 Mac ini pada jam 2.30 petang di Tingkat 7, Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply