Tidak mahu mencampuri urusan Peguam Negara dan pihak berkuasa untuk ambil tindakan terhadap Haziq, kebenaran akan muncul

0

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menzahirkan kesyukuran dengan keputusan diumumkan oleh Jabatan Peguam Negara bahawa tidak akan membuat apa-apa pertuduhan pada mana-mana pihak berhubung video intim yang terpalit namanya bersama.

Timbalan Presiden PKR itu menyifatkan kontroversi video intim yang mengaitkannya sebagai antara seorang pelaku adalah satu percaturan politik yang kejam dan menyatakan kontroversi yang melanda dirinya itu dianggap ujian getir yang berjaya dilaluinya.

Sehubungan itu, dengan beban kontroversi yang ditanggungnya selama ini sudah tiada, beliau mahu memberi sepenuh fokus pada tahun ini untuk pembangunan negara.

“Kita sebagai umat Islam, kita panjatkan rasa syukur dan saya secara peribadi ucapkan Alhamdulillah atas pengumuman AG (Peguam Negara). Sudah tentulah saya lalui tempoh yang agak panjang dan ujian getir ini.

“Alhamdulillah, saya yakin ini (kontroversi video intim) adalah satu percaturan politik yang kejam. Namun saya yakin dengan proses dijalankan dan khususnya AG sebulat suara mencadangkan tiada kes pertuduhan. Saya bersyukur.

“Kini, saya boleh tumpu kepada 2020 kerana ia penting. Malaysia akan jadi tuan rumah APEC (Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik). Sebab itulah semua pihak pimpinan negara bertungkus-lumus siapkan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Kesyukuran, Tausiah dan Doa Selamat di Masjid Jamek Al-Amaniah dekat Batu Caves, malam ini.

Mengulas lanjut sama ada akan mengambil tindakan terhadap bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Rashid, Mohamed Azmin yakin, kebenaran akan muncul.

Beliau menegaskan tidak boleh mencampuri urusan pihak berkuasa dan Peguam Negara untuk mengambil tindakan terhadap Haziq. –THE MALAYA POST

*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply