Tiada rekod keluar pada bulan Februari, Jabatan Penjara Malaysia nafi Azilah Hadri dibawa keluar untuk jumpa VVIP

0

Jabatan Penjara Malaysia telah pun mengeluarkan satu kenyataan media berhubung dakwaan Azilah bin Hadri telah dibawa keluar untuk perjumpaan bersama VVIP yang tidak dikenali pada Februari 2019

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan, Jabatan Penjara Malaysia telah mengesahkan bahawa banduan Azilah Hadri tidak pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang sepanjang tahun 2019.

Malah penama yang dikaitkan tidak pernah dibawa keluar dari penjara semenjak 15 April 2015.

Kali terakhir penama dibawa keluar dari Penjara Kajang adalah pada 15 April 2015 iaitu bagi urusan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang.

Tambahnya lagi, pengiringan bagi menghadiri perbicaraan tersebut dilaksanakan setelah Penjara Kajang menerima Perintah Mengemukakan Orang Dalam Jagaan dari Mahkamah Sepang seperti mana di bawah Seksyen 30 Akta Penjara yang mengkehendaki banduan menghadirkan diri di mahkamah seperti mana masa dan tempat yang telah dinyatakan.

Malahan berdasarkan rekod semenjak tarikh tersebut, penama tidak pernah dibenarkan untuk dibawa keluar dari penjara berkenaan untuk apa-apa juga urusan.

Di samping itu, rekod lawatan dan perjumpaan juga menunjukkan banduan telah dilawati sebanyak (34) kali oleh keluarga dan (15) kali oleh peguam beliau di Penjara Kajang sejak setahun yang lalu.

Lawatan ini dijalankan seperti mana Peraturan 179 Peraturan Penjara 2000 berkenaan lawatan kepada mana-mana banduan akhir.

Oleh itu sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak yang mengatakan Azlan bin Hadri telah dibawa keluar dari Penjara Kajang pada tahun ini untuk menemui VVIP adalah tidak benar sama sekali.

Leave a Reply