Tiada kekosongan untuk Anwar-Tun Dr. Mahathir

0

PUTRAJAYA 29 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad membayangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet apabila beliau membuat perubahan kecil dalam portfolio jemaah menteri dalam waktu terdekat.

Ini kerana tambah beliau, tiada ahli Kabinet yang mahu melepaskan jawatan masing-masing untuk diberikan kepada Dato’ Seri Anwar.

“Kita tidak bincang perubahan atau pertambahan anggota Kabinet, memandangkan tiada yang mahu meletakkan jawatan. Buat masa ini tiada kekosongan, jika ada kita akan cari calon yang sesuai,” katanya.

Tun Dr. Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada Kabinet ada membincangkan lebih lanjut mengenai pertukaran portfolio menteri dan usaha membawa masuk Dato’ Seri Anwar ke dalam Kabinet.

Dalam pada itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu berkata, mesyuarat hari ini tidak membincangkan mengenai pertukaran portfolio yang bakal dilaksanakan itu.

“Mesyuarat parti juga tidak membincangkan perkara itu,” katanya.

Terdahulu Tun Dr. Mahathir mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Putrajaya siang tadi.

 

Leave a Reply