Tiada halangan, hanya peluang! Kegigihan ‘food rider’ OKU ini wajar dicontohi

0

Perkongsian pemilik laman Facebook, Saiful Bukhari Azlan tentang kisah kegigihan seorang ‘food rider’, Hazwan Bahazah membuka lembaran baharu buat dirinya yang kelainan upaya (pekak dan bisu) apabila ditawarkan kerja oleh pemilik sebuah perusahaan swasta.

Hanya menamakan ‘insan mulia’, Saiful Bukhari berkongsi detik apabila dihubungi seseorang yang tersentuh hati dan kagum dengan semangat Hazwan Bahazah yang rajin bekerja dan berusaha demi kelangsungan hidup

Jom baca perkongsian lanjut saudara Saiful Bukhari ini.

Menunggang motosikal meredah hujan lebat demi tugasan bukanlah satu kesukaran buatnya.

Walaupun perlu menahan kesejukan dingin malam dalam perjalanan yang jauh pun bukan satu masalah bagi dirinya.

Begitu juga keadaan diri yang istimewa kerana tiada deria pendengaran (pekak) dan bisu, juga bukan alasan untuk tidak mara ke hadapan dan meratapi nasib diri.

Luluh hati seorang pelanggan yang juga telah berkongsi kisah ini, tatkala menerima penghantaran makanan daripada insan istimewa ini.

Dengan wajah tidak lekang dengan senyuman walaupun kebasahan, dia dengan sopan menghulurkan tempahan kepada pelanggan.

Jelas kelihatan, kudrat yang ada tidak dipersia-siakan. Selagi mampu akan berusaha tanpa mengharap bantuan. Tugas dijalankan penuh keikhlasan.

Anak muda berusia 34 tahun yang telah mendirikan rumahtangga ini merupakan anak bongsu daripada dua beradik.

Dilahirkan di Hospital Assunta Petaling Jaya, dia kini menetap di sebuah kawasan Perumahan Rakyat (PPR) di Hiliran Ampang, Jalan Ampang Kuala Lumpur.

Menurut wawancara kami menerusi aplikasi mesej WhatsApp, Hazwan manyatakan telah lima tahun bertugas sebagai ‘grab rider’.

Sebelum ini, dia mempunyai pengalaman sebagai pemandu di syarikat Lineclear Express.

Ditanya apakah cabaran sebagai seorang rider? Hazwan memberitahu tidak banyak kesukaran yang dihadapinya. Komunikasi antaranya dengan pembekal makanan dan pelanggan adalah menerusi aplikasi mesej.

Anak muda ini turut berkongsi kisah rezeki pendapatannya mencecah RM100 bersih sehari dengan menggunakan motosikal miliknya sendiri.

Di akhir temuramah, Hazwan ada menitipkan pesanan buat orang muda di luar sana dan menulis, “saya adalah seorang Orang Kurang Upaya. Namun itu bukan alasan dan tidak menjadi halangan untuk saya berusaha mencari rezeki sebagai ‘food rider’. Saya berusaha bekerja sepenuh masa dan mengambil kerja sambilan juga.”

Semoga pengalaman dan nasihat Hazwan mampu memberi semangat serta mendorong kita untuk terus berusaha dan berjaya pada masa hadapan.

Sesungguhnya dalam hidup ini, manusia diduga berbeza-beza. Kekurangan yang diberi tanda Tuhan sayang akan hambanya.

Paling penting terus berusaha dengan yakin kerana Tuhan tidak akan menduga apa-apa yang melampaui kemampuan hambanya.

Sebagai iktibar, tiada alasan untuk kita yang sempurna keluar berusaha mencari rezeki dan tidak berjaya dalam hidup.

Memang benar Allah tidak menilai seseorang dari rupa, fizikal dan kekayaan. Tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan hambaNya.

Semoga perkongsian ini menjadi titik mula kepada kita yang mungkin terkhilaf dan tersasar hanya mendongak di langit sehingga lupa bumi yang di pijak.

Kita boleh! 💪🏻💪🏻💪🏻💪🏻

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply