The Pocket Rocketman’ dan lima doktor dikurnia gelaran Datuk

0

Pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang terkejut dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Terengganu yang membawa gelaran Datuk.

Pelumba kelahiran Dungun berusia 33 tahun mengakui anugerah itu di luar jangkaannya selain tidak pernah bermimpi untuk mendapatkan gelaran itu.

Pun begitu, Azizulhasni yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ dan bakal berangkat ke Tokyo pada 25 Julai ini menyifatkan anugerah itu satu pengiktirafan tertinggi buatnya selepas lebih 15 tahun terbabit dalam sukan berbasikal.

“Pertamanya, rasa syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, kerajaan negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), serta semua orang kuat yang berada di depan dan belakang tabir termasuk pihak media yang menyokong sejak awal pembabitan saya dalam sukan berbasikal ini.

“Tambahan pula, saya adalah atlet Olimpik pertama kelahiran Terengganu yang mendapat gelaran itu, sudah pastinya begitu gembira dan rasa bertuah.

“Terus terang saya terkejut mendengar berita ini. Pada mulanya saya tidak percaya malah menyangka ianya sebagai gurauan daripada rakan-rakan dan sahabat media kerana berbaki seminggu lagi sebelum saya bertolak ke Jepun.

“Namun selepas diyakinkan beberapa pihak saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua terutama Sultan Terengganu selain tidak menyangka gelaran itu adalah betul berlaku dan bukannya gurauan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azizulhasni yang bakal turun ke gelanggang dalam acara pecut pada 4,5 dan 6 Ogos dan diikuti acara keirin pada 7 dan 8 Ogos, menyifatkan gelaran itu mampu membakar semangatnya untuk memburu pingat emas pertama buat negara dalam sejarah.

“Sudah pasti gelaran itu menyuntik lagi semangat saya untuk merealisasikan impian negara memburu pingat emas pertama dalam temasya terbesar dunia itu.

“Namun saya memohon doa daripada seluruh peminat di negara ini agar saya mampu beraksi dengan baik sambil mendoakan seluruh kontinjen negara bebas daripada sebarang masalah termasuk pandemik COVID-19 yang sudah tentu dibimbangkan semua,” katanya.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Pejabat Sultan Terengganu hari ini, pelumba yang pernah meraih pingat gangsa dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016 itu tersenarai antara 10 penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk.

Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Datuk Isa @ Ghazali Endut berkata, pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bagi tahun 2021 itu berkuatkuasa mulai hari ini.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply