Teruskan saman saya bersedia – Yusoff Rawther

0

“Teruskan saman saya bersedia,” kata Muhammed Yusoff Rawther dengan tegas mengenai tindakan saman sivil yang bakal diambil Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

Pada sidang media berkenaan Yusoff Rawther tampil kemas bagaimanapun meluahkan rasa kecewa selepas mengetahui keputusan Jabatan Peguam Negara yang tidak akan mendakwa Dato’ Seri Anwar atas dakwaan serangan seksual kerana kekurangan bukti.

“Saya perlu menegakkan kebenaran walaupun dengan apa cara sekalipun. Saya sangat kecewa dan marah dengan keputusan ini dan merasakan seolah keadilan tidak ditegakkan.

“Dalam ramai-ramai peguam yang saya temui, ternyata Haniff (Haniff Khatri) jujur untuk membantu saya,” katanya ringkas pada sidang media di pejabat Haniff Khatri di Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, Haniff Khatri berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan sivil selepas pihaknya mendapat maklumat lanjut berkenaan tindakan sivil Dato’ Seri Anwar terhadap Muhammed Yusoff terlebih dahulu yang dikatakan akan diteruskan walaupun Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa beliau.

Namun katanya, sehingga kini Yusoff dan beliau belum menerima sebarang surat tindakan saman daripada peguam Ram Rarpal mewakili Dato’ Seri Anwar.

Dalam perkembangan sama Haniff Khatri berkata, pihaknya telah menulis kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat penjelasan lanjut mengenai dua perkara mengelirukan dalam kenyataan media yang dikeluarkan jabatan berkenaan pada 14 Januari lalu.

“Semalam, kita sudah hantar surat kepada Jabatan Peguam Negara untuk mereka tetapkan tarikh pertemuan dengan Peguam Cara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan. Ada beberapa persoalan timbul dalam kenyataan media berkenaan di perenggan 4.

“Kita berikan tempoh tujuh hari untuk mereka beri tarikh pertemuan berkenaan. Penjelasan Engku Nor Faizah penting untuk Muhammed Yusoff membuat keputusan mengenai langkah seterusnya,” katanya.

Pada 14 Januari lalu Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak mendakwa Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan serangan seksual terhadap bekas ,penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther dibuat berdasarkan penemuan dan kesimpulan Jabatan Siasatan Jenayah, JSJ Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, bagaimanapun pihaknya akan membuka semula kertas siasatan berhubung dakwaan Yusoff Rawther itu jika ada bukti baharu.

Tegasnya, tiada sebarang perkara yang mencurigakan berhubung keputusan Jabatan Peguam Negara yang memutuskan tiada cukup bukti untuk mendakwa Dato’ Seri Anwar.

“Ia berlaku sudah lama kira-kira satu, dua tahun lalu. Anda tahu, ia sukar. Kalau ada bukti baharu, barulah kita boleh buka semula kes berkenaan.

“Kita perlukan bukti fizikal. Itu sebabnya (Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada cukup bukti untuk mendakwa) berdasarkan penemuan dan kesimpulan kita.

Selasa lalu, Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faisah Engku Atek dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan kertas siasatan diterima daripada polis, pihaknya mendapati terdapat percanggahan fakta yang material untuk membuat pendakwaan.

–THE MALAYA POST

*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply