Terkini : Salah laku dalam MBI, Amirudin perlu jelaskan

0

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan salah laku yang berlaku berhubung pengurusan Menteri Besar Selangor (Incorporated) (MBI) membabitkan salah seorang ahli lembaga pengarahnya.

Gesaan itu disuarakan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Ibrahim Ali, berdasarkan salinan dokumen yang diterimanya.

“Saya menerima salinan dokumen membabitkan salah laku yang berlaku dalam MBI di dalam peti surat di kediaman saya baru-baru ini, pastinya ini adalah sesuatu yang serius. Saya menuntut penjelasan menteri besar dan pihak berkaitan.

“Ia dilampirkan dengan salinan fotostat surat Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengarahkan MBI menjalankan siasatan terhadap Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Syarikat MBI (COO) yang bernama Soffan Afendi Aminudin.

“Apabila saya teliti, ia sesuatu yang amat serius kerana Soffan dikaitkan dengan salah laku dan kecuaian membabitkan kerugian melebih RM50 juta, berhubung rundingan hartanah dengan sebuah syarikat, dan syarikat berkenaan membiayai majlis yang turut dihadiri Mohamed Azmin Ali sebelum keputusan rundingan dibuat,” katanya.

Menurut salinan surat SPRM yang diterima Ibrahim bertarikh 15 Julai tahun ini, SPRM memaklumkan laporan penyiasatan berhubung perjanjian antara Kemudi Ehsan Sdn Bhd dan MBI membabitkan tanah-tanah lot Mukim Ijok Daerah Kuala Selangor.

Bersandarkan surat SPRM itu, hasil siasatan SPRM mendapati tanah-tanah lot itu dijual di bawah harga pasaran dan kecuaian COO telah mengakibatkan kerugian RM50 juta.

Pihak SPRM dalam suratnya memaklumkan kecuaian berkenaan adalah perkara serius bagi seorang COO MBI yang juga ahli lembaga Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Melalui surat itu, SPRM meminta supaya pihak MBI segera mengkaji semula perjanjian yang dimeterai dengan membuat satu siasatan dalaman dan tindakan perlu diambil sekiranya ada pelanggaran peraturan memandangkan ia membabitkan wang rakyat.

Pihak SPRM juga memohon supaya laporan siasatan dalam MBI tersebut dipanjangkan kepada SPRM.

Dalam pada itu Ibrahim yang juga Presiden Perkasa menuntut penjelasan sama ada MBI telah menjalankan siastan dalaman dilakukan seperti mana saranan SPRM.

“Jika tidak, ia sesuatu yang amat menghairankan kenapa proses siasatan dalaman yang bebas dan telus ke atas Soffan masih belum dimulakan MBI. Apakah ada campur tangan individu tertentu?

“Saya tidak buat tuduhan, tapi saya mendesak SPRM menyiasat COO secara telus kerana beliau COO dan ini sesuatu yang serius, saya hanya membantu mendesak ke arah usaha memerangi salah guna kuasa dan rasuah yang tidak terkecuali terhadap sesiapa.

“Sehubungan dengan itu jangan ada mana-mana pihak membuat tuduhan sehingga SPRM betul-betul siasat secara telus dan saya tidak boleh berdiam diri apabila menerima maklumat misteri ini,” katanya.

Tambah Ibrahim lagi beliau akan menghantar dokumen yang diterimanya itu kepada SPRM dan mendesak supaya siasatan telus diadakan.

Leave a Reply