“GPS berjanji akan terus perjuang hak Sarawak serta beri keutamaan kepada kepentingan nasional” – Ketua Whip GPS

0

Ketua Whip GPS, Dato’ Sri Fadillah Yusof menganggap pelantikan beliau sebagai Menteri Kanan bersama lapan rakan Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bersama-sama menganggotai Kabinet Persekutuan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta GPS bukanlah jawatan yang perlu dimegah-megahkan.

Sebaliknya ia adalah amanah besar demi rakyat dan negara, yang perlu digalas dengan rasa rendah diri dan penuh rasa tanggungjawab.

“Seperti diumumkan pada hari ini Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kepada YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya dan rakan-rakan dalam GPS,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata pelantikannya sebagai Menteri Kanan dan Menteri Kerja Raya, selain tiga Menteri penuh dan lima Timbalan Menteri yang diperuntukkan kepada GPS adalah pengiktirafan buat rakyat Sarawak dibawah kepimpinan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Pusat bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di peringkat negeri.

“Lapan lagi wakil GPS dalam Kabinet Persekutuan ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato’ Sri Nancy Shukri; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah; Timbalan Menteri Kesihatan , Datuk Aaron Ago Dagang; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Dato’ Henry Sum Agong dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Dato’ Sri Tiong King Sing.

“Walaupun GPS menganggotai Kabinet Persekutuan, namun kedudukan GPS kekal sebagai entiti politik Sarawak mesra Kerajaan Persekutuan, dengan GPS akan terus memperjuangkan hak-hak Sarawak, dan tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Dahulu pun dibawah Kerajaan Pakatan Harapan, GPS mengambil pendekatan mesra Kerajaan Persekutuan, namun bezanya dibawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin, Perdana Menteri kelapan memerlukan GPS untuk sama-sama berada dalam Kabinet serta mentadbir negara dan mendepani senario politik dan ekonomi yang kian mencabar demi kepentingan nasional,” ujar beliau.

Dato’ Sri Fadillah bersama anggota kabinet GPS berjanji akan terus memperjuangkan hak Sarawak serta akan sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan nasional dalam melaksanakan amanah portfolio yang dipertanggungjawabkan.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply