Tempoh rayuan permohonan BPN dilanjut sehingga 31 Mei

0

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan beliau mendengar rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) atas pelbagai sebab.

Menurut beliau, antara sebab orang ramai gagal menerima bayaran adalah kerana maklumat yang diisi tidak lengkap dan ada juga yang permohonannya ditolak kerana didalam rekod telah menunjukkan pendapatan individu melebihi syarat kelayakan tetapi mereka sebenarnya telah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan.

“Ada juga antara yang memohon adalah pelajar yang telah menerima bantuan BPN bagi kategori pelajar.

“Jadi permohonan mereka untuk mendapatkan bayaran BPN bagi kategori bujang ditolak. Ini antara sebab-sebab permohonan ditolak”, ujar beliau.

Setelah mengambil kira semua perkara, Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei 2020.

Selain menghantar emel, para pemohon yang mana permohonan mereka tidak diluluskan boleh hadir sendiri ke kaunter-kaunter LHDN untuk membuat rayuan bermula hari Isnin 11 Mei 2020.

“Bagi negeri-negeri yang bercuti esok, bolehlah pergi ke kaunter LHDN pada hari Selasa 12 Mei 2020.

“Saya tak berjanji semua rayuan boleh diluluskan. Tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, insyaAllah boleh diluluskan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, semalam pihak kerajaan telah meluluskan sebanyak 2.3 juta permohonan BPN, termasuk permohonan baharu dan rayuan, yang melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 billion.

Dengan kelulusan itu, jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang yang melibatkan bayaran berjumlah RM11 billion.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply