Tempoh PKP : Persoalan, cabaran dan hikmah buat diri saya 

0

Seluruh negara terkejut, tergamam semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 diumum Perdana Menteri Ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin dua minggu lalu kerana bimbang dengan penularan wabak COVID-19 yang pantas dan mudah berjangkit.

Mana tidak terkejut? Kerana perintah seumpama ini tidak pernah berlaku di negara kita. Semua tidak ada pengalaman dan mengetahui apa senario dan suasana yang mereka akan hadapi.

Saya secara peribadi, sebagai seorang usahawan yang memiliki beberapa rangkaian perniagaan, pada awalnya hati saya cemas, bingung kerana “dah la job tak ada, perniagaan kurang memberangsangkan beberapa bulan sebelum ini, di kala tempoh PKP aktiviti perniagaan terbatas, macam mana nak bayar gaji kakitangan saya yang rata-rata sudah berkeluarga?”

Memang ujian besar buat saya dan sebilangan besar masyarakat dalam negara kerana tidak semua di antara kita dikurniakan rezeki untuk menikmati gaji tetap dan pekerjaan yang terjamin.

Berapa ramai yang bekerja sendiri? Berapa ramai kais pagi makan pagi? keluar bekerja, ada gaji, tidak bekerja tiada gaji harian, “miss soru”. Sebagai contoh penjaja makanan, pemandu teksi dan Grab.

Memikirkan masyarakat seperti yang berstatus ibu tunggal, bagaimana mereka hendak galas tanggungjawab memelihara dan membesarkan anak-anak yang masih bersekolah.

Ada juga rakan yang baru mendapat cahaya mata pertama, diberhentikan dan dinasihati mengambil VSS baru-baru ini kerana kedudukan kewangan syarikat yang merosot.

Adakah ramai lagi rakan-rakan, masyarakat akan hilang pekerjaan dan mata pencarian?

Seribu satu persoalan lagi yang bermain di fikiran saya. Akhirnya, saya akui, ini benar-benar nyata, “KepadaMu ku berserah”.

PKP DIKUATKUASA

Nah, diarahkan duduk diam-diam di rumah!
Stay at home, stay at where you are!
Oh my PKP !!

Kegusaran bertambah kerana kadangkala saya lepaskan keresahan yang terbungkam di dalam hati dengan berjalan-jalan, bersiar-siar di shopping mall. Bukan untuk beli belah, tapi menonton wayang dan makan sambil melayan karenah anak-anak.

Ini cara saya cari idea, beriadah bersama keluarga, melepaskan tekanan urus perniagaan sebelum ini.

Sekarang sudah tak dibenarkan. Tak apalah, saya redha dan akur sajalah….

AKTIVITI PKP

Pada hari pertama PKP, saya menunaikan Solat Hajat mohon petunjuk dan perlindungan dari Allah SWT.

Saya memulakan hari pertama saya dengan mengisi waktu harian saya dengan solat dari Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, Isyaq, solat sunat.

Ada waktu terluang sementara tunggu solat, saya akan isi masa dengan rutin harian.

Kali ini ada penambahan ketara iaitu memasak dan mengemas.

Setiap hari saya akan menyediakan juadah biasa dan simple buat suami, anak-anak dan adik ipar saya.

Selesai Subuh, saya tidur semula kemudian saya akan bangun untuk mandikan anak-anak dan masuk dapur untuk masak.

Ya, dapur merupakan “pejabat” saya buat kali ini.

Di waktu itu lah juga saya cuba mencari kerja untuk keluarkan peluh dengan mengemas apa yang patut.

Sambil-sambil di dapur saya fokus kerja atau hal perniagaan saya.

Setiap hari saya monitor rapat kerja-kerja team, rangkaian syarikat dan perniagaan saya.

Dari butik, produksi hinggalah kepada penulisan di portal berita.

Itu la rutin harian PKP saya. Hari pertama sehingga hari kelima saya hanya menyediakan menu biasa.

Masuk hari keenam saya mencuba menu baharu. Haa, dah masuk gear dua. Saya cuba dapatkan resepi daripada ibu saya, adik mahupun searching engine melalui encik serba tahu, Encik Google!

Dengan masa yang sangat terluang, saya mula mencabar diri saya untuk cuba memasak hidangan yang di luar kebiasaan rutin hidangan di rumah.

Rutin ini kerap kali dan berulang-kali dilakukan sehinggalah cukup hari ke-14 pun masih sama.

Susah hati macam mana sekalipun, hidup perlu diteruskan. Makan merupakan sumber tenaga untuk memulakan bermacam aktiviti.

Banyak hikmah dan nikmat sepanjang tempoh PKP ini.

Pertama, hati terasa sangat dekat dengan Yang Esa, hubungan kekeluarga bertaut rapat, kulit saya segar tanpa secalit makeup, rambut saya bertambah sihat kerana terlindung dari pancaran sinaran UV. Tambahan hampir setiap hari kepala berbungkus dek kerana “treatment”.

Anak-anak saya membulat dengan masakan bonda mereka.

Suami saya senyum sampai ke telinga selalu memuji makanan sedap kerana tiap-tiap hari saya masak menu “favourite” seisi keluarga.

Nah, siapa kata wanita bekerjaya tidak hebat di dapur!????????

Saya sendiri tidak percaya.
Saya sendiri sangat akur dengan PKP ni.
Memang duduk rumah sahaja dan langsung tidak keluar walau hanya ke pagar hadapan rumah.

Menyahut saranan pihak berkuasa, hanya ketua keluarga yang keluar mencari bekalan barangan keperluan harian maka si suami yang menjadi “tukang beli” barangan kiriman yang telah disenarai lengkap.

Kini, tempoh PKP di lanjutkan ke Fasa ke 2, bertambah lagi 14 hari. Walaupun perit rasanya, saya redha.

Saya menghubungi ibu bapa di kampung bagi memastikan agar mereka turut akur dengan saranan dan polisi PKP. Saya mohon juga mereka berdoa di atas ujian dan cabaran yang sedang dihadapi kerana saya yakin, doa ibu dan bapa turut di “Aamin” kan oleh Malaikat dan tiada hijabnya disisi Allah SWT.

Hanya Sang Pencipta Maha Berkuasa di atas segala-galanya, waima dari sekecil-kecil dan berbisanya virus!

Allah Maha Besar,
Allah Maha Berkuasa,
Allah Maha Mengetahui,
Segala yang mustahil dan lebih dari luar biasa itu hanya milik dan rahsia Allah…

Segala kegusaran dan keresahan, ku berserah kepadaMu, tanda ku yakin Allah SWT itu sentiasa ada…

Yakin itu tidak berdiri sendiri, melainkan dirangkumi dengan ikhlas, sabar, redha dan berbaik sangka terhadap dugaan serta cubaan.

Semoga kita semua dilindungi dari dijangkiti Wabak COVID19 ini, senantiasa tabah dan dapat melalui tempoh getir ini dengan tenang.

NIK SURYANI MEGAT DERAMAN
PKP Hari ke-16, 2hb April 2020

Leave a Reply