Tasik Kenyir sesak, dikunjungi 15,000 pengunjung sehari

0

Seramai 15,000 pengunjung sehari direkod telah mengunjungi Tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia, Tasik Kenyir.

Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, jumlah itu difahamkan hanya membabitkan pengunjung tempatan dan bukan pelancong luar menerusi keseluruhan 4,500 kenderaan yang masuk.

Katanya, Tasik Kenyir di sini adalah antara lokasi yang paling sesak dengan pengunjung berbanding jeti-jeti pulau peranginan di Pulau Perhentian, Redang dan Kapas.

“Bilangan pengunjung dijangka terus meningkat pada minggu seterusnya dengan kepulangan anak perantau dan pelancong yang menggunakan perkhidmatan rumah bot serta bot laju susulan kebenaran rentas negeri.

“Sehubungan itu, polis turut menambah kekuatan pasukan pemantau di Tasik Kenyir yang terdiri daripada 12 pegawai dan 35 anggota bagi melancarkan aliran trafik di samping aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas program pemantauan pematuhan SOP Covid-19 di Tasik Kenyir, hari ini.

Datuk Rohaimi berkata, sejak kebenaran rentas negeri Isnin lalu, belum ada kompaun dikeluarkan di pusat-pusat peranginan membabitkan pulau dan tasik di Terengganu.

Dalam pada itu, katanya, pemantauan turut digiatkan di kawasan tumpuan ramai termasuk di Pantai Batu Buruk, Pantai Seberang Takir, jambatan angkat (drawbridge) dan kedai-kedai makan ikan celup tepung.

“Pemerhatian mendapati tahap pematuhan SOP di Terengganu kini 97 peratus dan selagi tiada penambahan kompaun secara mendadak, maka kita anggap keadaan terkawal,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply