Kerjasama dengan agensi pembangunan serantau untuk membuat pelan induk di atas tanah wakaf akan memberi manfaat kepada golongan miskin-Haniff Khatri

0

Peguam terkenal, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mencadangkan lima agensi pembangunan serantau dibina kerana mereka sudah mempunyai kepakaran dalam permulaan membantu usahawan dalam perniagaan dan membina rumah untuk keluarga miskin.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan cadangan dan pandangan pada slot forum bertajuk ‘Pembangunan Wakaf Adakah Satu Perniagaan atau Kebajikan’ ketika dijemput menjadi salah seorang panel di Simposium Wakaf Negeri Pulau Pinang-Satu Evolusi.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi PERDA berkata, tanah wakaf harus kekal di bawah pihak ketiga untuk mengelakkan kepentingan keluarga dan penyalahgunaan kuasa dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri sebagai pemegang amanah.

Mengulas lanjut, Haniff Khatri turut menyatakan, kerjasama dengan agensi pembangunan serantau untuk membuat pelan induk di atas tanah wakaf akan memberi manfaat kepada golongan miskin di kalangan  umat Islam dan juga kepada bukan Islam dalam satu jangka masa panjang.

“Berikan masa enam hingga 10 bulan kepada agensi-agensi serantau untuk pengesahan, kita dapat membantu melalui kemudahan dan perkhidmatan asas (infrastruktur), kita mempunyai tanah untuk membina rumah bagi golongan miskin”.

“Kerjasama dengan pihak pengurusan wakaf, kita tidak memerlukan pihak persekutuan untuk memberi lebih banyak tanah, kerana kita dapat memanfaatkan tanah wakaf yang ada sekaligus dapat mengurangkan pertindihan kos dan menghadkan pembaziran”, katanya.

Tambahnya, dalam masa yang sama pihak pejabat Pengerusi PERDA sedang merangka dan menyiapkan Kertas Kerja ‘BLUE PRINT’ berkaitan halatuju PERDA pasca 2020, serta akan mengetengahkan beberapa perkara berhubung kait dengan isu tanah wakaf melalui perbincangan lanjut semasa simposium ini berlangsung untuk dipanjangkan kepada Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebelum penghujung tahun ini.

Leave a Reply