Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik Perdana Menteri ke-8

0

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Rilayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan melantik Tan Sri Mahiaddin Md Yasin (Muhyiddin) sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 (Ahad) jam 10.30 pagi di Istana Negara.

Seri Paduka Baginda bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengah kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang dicintai bersama.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan media berkata proses ini adalah lanjutan daripada titah KDYMM Seri Paduka Baginda di mana ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas diminta untuk mengemukakan pencalonan nama-nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Istana Negara hari ini telah menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Setelah mendapat representasi daripada semua ketua-ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing serta Ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri Paduka Baginda, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat ialah Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin), Ahli Parlimen Pagoh (P143).

Seri Paduka Baginda bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan semua yang terlibat khususnya agensi-agensi kerajaan, keselamatan dan pihak media.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply