Tan Sri Muhyiddin Yassin angkat sumpah Perdana Menteri Ke-8

0

Sejarah Malaysia tercipta…

Hari ini peralihan politik negara kembali berlaku selepas kurang dua tahun gabungan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan baharu yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia di hadapan Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Balai Rong Seri, Istana Negara tepat jam 10.30 pagi ini (1 Mac).

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas enam hari Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan Perdana Menteri ke-7.Para pemimpin utama parti-parti gabungan Perikatan Nasional dan ahli-ahli Parlimen turut hadir ke istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8.

Kronologi perubahan pentadbiran negara mengejutkan ramai dengan menyaksikan “plot twist” berlaku hampir setiap hari.

Terdahulu, negara digemparkan dengan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7 secara mengejut.

Beliau telah mengutus surat perletakan jawatan terhadap Yang di-Pertuan Agong tepat jam 1.00 tengah hari, pada 24 Februari yang lalu.

Setengah jam kemudian, beliau turut mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Surat berkenaan dihantar ke ibu pejabat parti hari ini, menurut satu kenyataan Pejabat Pengerusi Bersatu.

Pada hari yang sama (24 Februari 2020) Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menerima perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7.

Melalui perutusan yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Yang di-Pertuan Agong juga turut berkenan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Interim sementara yang akan menguruskan pentadbiran negara sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Namun Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju kembali memegang jawatan Pengerusi BERSATU berkuatkuasa serta merta bertarikh 28 Februari lalu.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Wira Marzuki Yahya dalam satu kenyataan berkata setelah berbincang Tun Dr Mahathir Mohamad mempertimbangkan dan bersetuju untuk bersama BERSATU kembali.

Sebelum itu, pada 25 Februari parti sebulat suara menolak perletakkan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi BERSATU.

Melalui mesyuarat Ahli-Ahli Dewan Rakyat BERSATU memutuskan untuk mencalonkan Presiden parti berkenaan, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin, Presiden BERSATU sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Ia disusuli dengan kenyataan rasmi UMNO dan PAS melalui gabungan Muafakat Nasional yang turut sepakat menyokong mencalonkan nama Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri ke-8 dan diikuti parti GPS serta WARISAN.

Dalam pada itu, kelmarin negara sekali lagi digemparkan apabila PH menyatakan sokongan penuh terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir dalam satu kenyataan media mengesahkan untuk berdiri sebagai calon pemimpin nombor satu negata yang akan diusulkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tidak lama selepas itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa kepimpinan utama parti gabungan dilihat berada di Istana Negara dan difahamkan beliau bertemu baginda selama 40 minit, dipercayai menyerahkan Akuan Berkanun (SD) yang telah ditandatangani oleh ahli-ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Pada petang yang sama, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Rilayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan melantik Tan Sri Mahiaddin Md Yasin (Muhyiddin) sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Setelah mendapat representasi daripada semua ketua-ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing serta Ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri Paduka Baginda, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat ialah Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin), Ahli Parlimen Pagoh (P143).

Seri Paduka Baginda bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengahkan kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang dicintai bersama dan istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada pagi ini.

Sebelumnya, Tun Dr Mahathir menjelaskan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), beliau bersama lima lagi Ahli Parlimen PPBM tidak bersama-sama menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin.

Beliau berkata jumlah sokongan BERSATU seperti yang dipersembahkan oleh Tan Sri Muhyiddin kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah tidak tepat.

Tambah Tun Dr. Mahathir, kesemua jumlah ahli-ahli Parlimen yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri ke-8 di dalam bentuk Akuan Berkanun (SD) berserta surat-surat rasmi dari Ketua-ketua Parti akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pagi ini sebelum acara mengangkat sumpah dijadualkan berlaku.

Tegas Perdana Menteri Interim, buat masa ini Tun Dr. Mahathir telah mendapat sejumlah 114 Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri ke-8.

Untuk rekod, Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan yang sama (Perdana Menteri ke-4) pada 16 Julai 1981 untuk tempoh 22 tahun.

Pada 10 Mei 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad mencipta sejarah dunia apabila kali kedua mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 di hadapan Yang di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Balai Rong Seri, Istana Negara selepas berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 bersama Pakatan Harapan (PH).

-THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply