Taktik licik mekanik di hentian Rehat dan Rawat lebuhraya, hulurkan bantuan tanpa diundang dan kenakan caj tidak masuk akal

0

Bahaya berada dimana-mana. Pelbagai taktik yang dilakukan penjenayah untuk mendapat sesuatu yang diingini.

Kaum wanita khususnya, perlu sentiasa saling mengingati agar tidak mudah menerima mahupun menghulurkan bantuan disaat memerlukan.

Seperti perkongsian Nik Nurin Alisa atau lebih mesra disapa Lisa di laman Twitter yang menceritakan kenderaannya secara tiba-tiba berlaku gegaran.

Ketika kejadian itu berlaku, Lisa bersama adik dan juga rakannya dalam perjalanan pulang dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat dan menuju ke Kuala Lumpur.

Disebabkan gegaran itu, mereka telah memberhentikan kereta di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Nilai Utara untuk melihat sama ada air coolant keretanya masih ada atau tidak, namun pada dashboard meter keretanya tidak menunjukkan sebarang tanda kerosakkan.

Seterusnya mereka memilih untuk membiarkan bonet hadapan keretanya terbuka agar bahagian dalam enjin sejuk.

Namun tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki warga India bertanya mengenai kerosakan keretanya dan terus memeriksa keadaan kereta Lisa tanpa terlebih dahulu meminta izin, seterusnya membuang sesuatu dan mengisi air.

Setelah selesai, mereka bercadang untuk bertanya upah dan lelaki itu menjawab harus membayar sejumlah RM150 hingga RM250.

Apabila ditawarkan upah dengan nilai RM50, lelaki itu menolak dan mereka tidak dibenarkan kemana-mana selagi tidak membayar mengikut jumlah yang ditetapkan.

Dalam keadaan ketakutan, adik Lisa iaitu Dina dalam diam cuba menghubungi pihak polis manakala Lisa melengahkan masa lelaki itu dengan memberitahu alasan ayahnya dalam perjalanan untuk masukkan duit ke akaun bank lelaki berkenaan.

Setelah menunggu lebih setengah jam akhirnya pihak polis sampai untuk menyelamatkan mereka dan meminta mereka agar terus pulang.

Menurut Lisa, lelaki India berumur 46 tahun itu telah ditahan oleh pihak polis.

Di ruangan komen, ada segelintir warga twitter yang juga turut memberitahu pernah berjumpa individu terbabit dan turut melakukan perkara yang sama.

Macam-macam perkara boleh berlaku. Diharap perkongsian ini akan memberi peringatan untuk semua agar sentiasa berhati-hati dan mengawasi diri.

Leave a Reply