Takbir Raya di masjid dan surau di kawasan PPN fasa kedua dibenarkan

0

Umat Islam di lapan negeri yang sudah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk melaksanakan takbir hari raya dalam masjid dan surau.

Perkara itu antara beberapa aktiviti dan protokol disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk prosedur operasi standard (SOP) sektor sosial sambutan Aidiladha 2021.

Bagaimanapun menerusi hantaran yang dikemas kini dan disiarkan laman agensi tersebut, kegiatan takbir hari raya itu dari rumah ke rumah penduduk masih lagi tidak dibenarkan.

Namun, umat Islam di negeri-negeri berstatus Fasa 2 itu dibenar menunaikan solat sunat Aidiladha secara berjemaah dan khutbah Aidiladha pada Selasa ini menurut SOP ditetapkan.

Ini termasuk garis panduan diwartakan pihak berkuasa agama negeri masing-masing dengan antaranya penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan pematuhan SOP lazim yang lain.

Situasi ini berbeza daripada sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun lalu apabila semua negeri boleh melaksanakan solat itu dengan SOP ketat bagi mengekang wabak Covid-19.

Ketika ini, hanya lapan negeri yang telah berpindah ke Fasa 2 iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan terbaharu, Sarawak pada Rabu lepas.

Mengulas lanjut, MKN memaklumkan bahawa pihak pengurusan masjid hendaklah membuat penandaan jarak antara setiap jemaah dengan selang jauh sekurang-kurangnya satu meter selain kaunter di pintu masuk bagi pemeriksaan suhu badan dan pendaftaran kehadiran juga ada, termasuk kerap melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitar termasuk di ruang wuduk.

Hanya jemaah yang sihat dan tidak bergejala dibenarkan masuk manakala pintu masjid atau surau dibuka sejam sebelum solat serta ditutup sejurus selesai aktiviti ibadah sunat tersebut.

Penggunaan tandas perlu dihadkan pada satu-satu masa mengikut jumlah biliknya dan mesti ada petugas yang mencukupi bagi membantu proses kawalan jemaah akan berjalan lancar.

Jemaah diingatkan tidak bersalaman, berpelukan atau bersentuhan, selain digalak membawa sejadah sendiri dan sudah mengambil wuduk di rumah sebelum datang ke masjid atau surau.

Mereka juga ujar MKN, perlu masuk dan keluar premis dengan mengikut giliran yang teratur serta dijaga jarak secara terkawal selain dipastikan terus bersurai dalam keadaan tenang.

Tiada aktiviti perkumpulan sesama anggota jemaah yang dibenarkan selepas selesai solat sunat Aidiladha dan khutbah hari raya itu sama ada di dalam atau luar masjid atau surau.

Sementara itu, MKN turut mengingatkan jemaah untuk tidak dibenarkan mengadakan jamuan selepas solat tersebut yang kebiasaannya dianjurkan sebelum aktiviti penyembelihan korban.

Begitu juga program ziarah ke kediaman keluarga dan saudara mara, mengunjungi tanah perkuburan dan rumah terbuka atau majlis jamuan yang tetap tidak dibenarkan sama sekali.

Aktiviti korban haiwan pada kali ini dibenarkan mengikut ketetapan yang diwartakan pihak berkuasa agama negeri dan agensi berkaitan dengan penjarakan dan pematuhan SOP.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply