Zakat hanya untuk Orang Islam – Sultan Selangor

0

Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris hari ini bertitah bahawa mengikut agama Islam kutipan zakat hendaklah diagihkan kepada lapan golongan asnaf, termasuk asnaf fakir, miskin dan mu’allaf (saudara baru) dari kalangan umat Islam sahaja.

“Tanggungjawab membayar zakat adalah merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang wajib dipatuhi oleh setiap umat Islam”.

“Walaupun agama Islam adalah agama yang menekankan sifat-sifat perikemanusiaan tetapi agihan zakat yang diperolehi daripada umat Islam hendaklah diberi kepada lapan golongan asnaf dari kalangan umat Islam terutama yang miskin dan memerlukan bantuan terlebih dahulu”, titah baginda dalam satu kenyataan akhbar rasmi ditandatangani Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani.

Menurut kenyataan akhbar, Baginda Sultan bertitah, masih ramai orang Islam yang miskin di luar bandar dan juga miskin bandar yang perlu dibantu menggunakan hasil kutipan zakat.

Ini kerana di Selangor, majoriti rakyatnya beragama Islam dan jumlah penduduk Islam semakin bertambah setiap tahun.

Bagi orang-orang miskin yang bukan beragama Islam adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu dan menolong mereka menerusi jabatan-jabatan dan agensi yang telah ditetapkan.

Berkaitan dengan isu agihan zakat ini, Sultan Selangor telah mendapat nasihat daripada Sahibus Samahah Dato’ Mufti Selangor bahawa agihan zakat kepada bukan Islam dibolehkan hanya sekiranya ianya menjadi penyebab individu terbabit memeluk Islam di bawah asnaf Mu’allafati Qulubuhum.

Baginda juga ingin mengingatkan di sini bahawa fungsi zakat dan cukai pendapatan (income tax) adalah berbeza.

Oleh itu diharap masyarakat dapat memahami dengan jelas tujuan setiap badan itu ditubuhkan.

Titah baginda ini dikeluarkan berikutan laporan akhbar yang tular di media sosial baru-baru ini yang memetik kenyataan dua orang Mufti dan seorang ahli politik yang menyentuh tentang agihan wang kutipan zakat kepada orang bukan Islam di negara ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor meminta supaya isu berkaitan dengan pengagihan zakat ini tidak lagi diperdebatkan secara terbuka di media massa.

Baginda Sultan Selangor turut menyeru agar tiada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan isu-isu berkaitan dengan agama Islam untuk meraih populariti atau untuk mengambil hati mana-mana pihak tertentu.

Dalam pada itu, baginda sekali lagi menegaskan bahawa hasil kutipan zakat di Selangor akan kekal diagihkan kepada lapan golongan asnaf di kalangan umat Islam.

Leave a Reply