Sultan Johor kesal poster lama dengan Najib Razak ditularkan semula mengikut konteks yang tidak tepat

0

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal apabila sebuah poster mengaitkan baginda dengan Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pernah disiarkan tujuh tahun lalu, kembali tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut kenyataan dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, poster itu telah diputar belit mengikut konteks yang tidak tepat di mana terdapat keterangan gambar mendakwa baginda memberi peluang kepada mantan Perdana Menteri itu.

Untuk rekod, kenyataan itu sebenarnya diambil daripada satu temubual eksklusif Sultan Ibrahim bersama sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan yang disiarkan pada 27 Disember 2015.

Baginda bertitah, kenyataan itu dibuat berkaitan situasi pentadbiran negara pada waktu berkenaan dan tidak diguna pakai dalam keadaan negara pada ketika ini.

“Saya sedar kedudukan saya sebagai seorang Sultan bermaksud saya tidak berpihak kepada mana-mana parti mahupun ahli politik.

“Sebagai Raja Berperlembagaan saya tidak mencampuri mana-mana parti atau perikatan politik yang telah dipilih oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum,” titah baginda dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini tular dalam media sosial poster yang memetik titah Sultan Johor seolah-olah memberi gambaran bahawa Baginda meminta rakyat memberi peluang kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Penularan poster itu pada ketika ini dilihat berniat jahat dan jelas berhasrat untuk mengheret Institusi DiRaja Johor ke dalam isu-isu politik semasa negara.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda telah memberi kerjasama kepada kerajaan negeri berhubung pelantikan tiga Menteri Besar dalam tempoh dua tahun iaitu pada 2018 hingga 2020.

“Saya telah menerima keputusan kerajaan berkenaan dan memberikan kerjasama kepada mereka semua.

“Kepentingan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan saya dan Institusi DiRaja Johor, tidak kira siapa pun yang memegang tampuk pentadbiran kerajaan,” titah Sultan Ibrahim.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply