Sudah ada senarai destinasi percutian tahun 2020? Jom lihat senarai lokasi menarik yang mungkin akan menjadi pilihan percutian anda!

0

Negeri Terengganu merupakan salah satu destinasi percutian yang sering menjadi tumpuan pelancong terutamanya bagi mereka yang sukakan aktiviti berkaitan dengan tarikan pulau dan pantai.

Bagi Tahun Melawat Malaysia 2020, Terengganu adalah destinasi yang wajib anda kunjungi kerana terdapat pelbagai tempat menarik dan aktiviti yang dapat anda lakukan di sini.

Malah anda dapat menikmati pelbagai hidangan masakan di pantai timur yang berasaskan kepada hidupan laut seperti ikan, sotong dan udang.

Selain itu pelbagai jenis kuih muih tradisional seperti bronok sagu, nganang, nekbat sira, tepung gomok dan banyak lagi, yang pastinya kuih tradisional ini tidak akan terdapat di tempat lain.

Berikut adalah beberapa aktiviti dan tempat menarik untuk anda:

1) Pulau Redang

Pulau Redang adalah sebuah destinasi yang paling terkenal di Terengganu. Disini anda dapat menyaksikan keindahan perairan jernih yang kaya dengan terumbu karang yang dikatakan mencecah sehingga 500 jenis.

Pulau ini juga turut menawarkan banyak tempat penginapan yang menarik bukan sahaja untuk keluarga tapi juga bagi anda yang datang untuk berbulan madu.

Untuk ke sini, masa yang diambil dengan menggunakan bot yang disediakan di Jeti Shahbandar dengan perjalanan yang memakan masa sekitar 1 jam setengah.

Malah sekiranya anda bertolak dari Jeti Marang pula hanyalah mengambil masa selama 45 minit.

2) Pasar Payang

Kalau di Kelantan terkenal dengan Pasar Siti Khadijah tetapi di Terengganu pasar yang paling ‘legendary’ adalah Pasar Payang.

Pasar ini menempatkan sekitar 1000 peniaga berbeza untuk pelbagai jenis produk Terengganu seperti keropok sira, ikan masin, keropok lekor, keropok keping dan pelbagai hasil kraftangan lain seperti songket, kain tenun, produk tembaga, batik dan sebagainya.

Kedudukannya juga cukup menarik kerana terletak berdekatan dengan banyak lagi tarikan lain di sekitar Terengganu seperti Bazaar Warisan, Pulau Warisan, Bukit Puteri, Kampung Cina dan Dataran Shahbandar.

3) Kenyir Water Park

Kenyir Water Park atau Kenyir Splash adalah tempat anda dapat bersantai bersama keluarga menikmati permainan air dengan penuh keseronokan.

Terdapat kolam inflatable yang padat dengan bermacam permainan seperti gelongsor dan bola untuk anak-anak bermain.

Bagi pengunjung dewasa pula, anda boleh berseronok dengan bermacam lagi tarikan lain yang disediakan seperti kayak, banana boat dan mega slice.

Bayaran tiket masuk kesana hanyalah RM5 sahaja dan lokasinya terletak di Dataran Gawi, Tasik Kenyir.

4) Bukit Besi Rainforest Endurance Park

Namun bagi mereka yang sukakan aktiviti lasak yang menguji ketangkasan fizikal anda wajib memasukkan lawatan ke Bukit Besi Rainforest Endurance Park ini ke dalam bucket list.

Di sini anda boleh melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti motor cross, ATV, jungle trekking, berkayak dan wind surfing.

Dalam banyak-banyak aktiviti ini, menaiki ATV adalah salah satu aktiviti yang wajib anda cuba kerana laluan yang disediakan tersangatlah mencabar di mana anda perlu melalui laluan yang berlumpur dan berbukit-bukit.

5) Sungai Yah Yah (Kelip-Kelip & River Cruise)

Sungai Yah Yah menawarkan beberapa aktiviti menarik untuk menyempurnakan percutian anda di Terengganu iaitu aktiviti melihat kelip-kelip di sepanjang sungai dan juga river cruise.

Pada jam 8 ke 10 malam antara bulan Julai Hingga Oktober adalah waktu yang tepat untuk anda dapat melihat kelip-kelip ini bercahaya di sekitar sungai.

Bagi aktiviti menyelusuri sungai (river cruise) pula ditawarkan setiap hari kecuali hari Jumaat.

Anda boleh menuju ke Jeti Sungai Yah Yah untuk mendapatkan perkhidmatan bot dan menyelusuri sungai untuk melihat keindahan flora yang ditawarkan sekitar hutan paya bakau hijau.

Jangka masa yang diambil untuk pergi dan balik adalah dalam sekitar 90 minit.

6) Candat Sotong

Mencandat sotong merupakan salah satu aktiviti menarik yang popular di Terengganu. Musim mencandat kebiasaannya adalah dalam sekitar bulan April hingga September.

Namun waktu yang paling sesuai adalah antara Mac hingga Julai setiap tahun ketika angin musim tengkujuh kian reda.

Aktiviti mencandat pada waktu ini adalah antara yang paling best sebab sotong-sotong di sekitar perairan pulau seperti Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Kapas umpama berpesta dalam satu kawasan yang sama.

Kebiasaannya aktiviti ini menjadi kesukaan ramai dan mendapat sambutan yang baik bagi pelancong dari dalam dan luar negara.

Bot untuk ke lokasi mencandat boleh disewa di sekitar Pulau Kapas atau bot dari jeti di Kuala Terengganu, Kemaman dan Setiu.

7) Kota Putra Paragliding & Extreme Park

Selain daripada aktiviti lasak di Bukit Besi Rainforest Endurance Park, Kota Putra Paragliding & Extreme Park ini juga salah satu aktiviti yang boleh menguji keberanian dan stamina diri anda.

Lokasinya dikelilingi oleh lautan, hutan dan bukit-bukau serta anda dapat beraktiviti sambil melihat pandangan dengan keindahan alam dan menghirup udara segar.

Antara aktiviti yang ditawarkan di sini adalah seperti jetski, surfing, memanah, rock climbing, paragliding, mendaki bukit, kite surfing dan banyak lagi sukan ekstrem yang lain.

8) Santuari Kelah Sungai Petang

Istimewanya tentang tempat ini ialah para pengunjung yang datang ke sini bukan sahaja berpeluang untuk mandi tetapi juga dapat berenang dan bermain dengan ribuan ikan kelah.

Memadangkan ikan kelah ini merupakan salah satu jenis spesis ikan yang dilindungi di kawasan Tasik Kenyir makan aktiviti memancing, menangkap atau memakan ikan tersebut adalah dilarang sama sekali.

Untuk menuju ke sini, anda perlu menaiki bot selama sekitar 30 ke 40 minit dari Pengkalan Gawi. Sejurus tiba, anda perlu berjalan kaki dalam sekitar 40 minit untuk merentas hutan menuju ke Santuari Kelah Sungai Petang.

Caj yang dikenakan untuk ke Santuari Kelah Sungai Petang ini adalah termasuk harga tiket masuk, bot pertukaran dari Kompleks Santuari ke Hentian 1 di Sungai Petang dan juga barangan lain seperti cenderahati dan snek.

Menariknya lagi, anda juga boleh menyaksikan pameran di ruangan galeri, melihat akuarium, melawati pusat pembenihan ikan dan juga melihat tempat penyelidikan ikan kelah.

9) Pusat Santuari Penyu Rantau Abang

Rantau Abang terkenal di seluruh dunia sebagai lokasi pendaratan penyu dari jenis leatherback.

Namun begitu, sepertimana kebanyakan spesies haiwan yang lain spesies ini kian diancam kepupusan sehinggakan kehadirannya semakin jarang dilihat.

Justeru itu, Pusat Santuari Penyu Rantau Abang ditubuhkan untuk memelihara penyu spesies ini dan beberapa lagi spesies lain seperti hawksbill dan green back.

Bagi para pengunjung, anda dapat melihat pelbagai spesies penyu dengan lebih dekat dan berpeluang untuk terlibat dalam aktiviti melepaskan anak penyu ke dalam laut sekiranya bernasib baik.

10) Makanan Tradisi Pantai Timur

Kalau datang ke Terengganu, tidak sah sekiranya tidak merasai atau tidak membawa pulang keropok lekor atau keropok keping yang merupakan antara produk tradisional negeri pantai timur ini.

Percaya atau tidak, di Terengganu juga mempunyai ICT tetapi ia berbeza dengan ICT yang berada di Shah Alam.

ICT atau sinonim dengan nama Ikan Celup Tepung adalah menu yang paling popular dan wajib anda cuba.

Malah terdapat pelbagai pilihan makanan laut seperti sotong, ketam dan udang disajikan untuk hidangan goreng tepung.

Kebiasaannya kedai-kedai ICT ini terletak bersebelahan dengan pantai, dengan ini para pengunjung dapat menikmati suasana yang santai serta pemandangan yang cantik.

Selain itu, di Terengganu juga terkenal dengan makanan sarapan pagi iaitu nasi dagang, laksa dan laksam.

Hidangan ketupat sotong juga merupakan masakan tradisional dan lauk yang cukup sinonim dengan warga pantai timur.

Pendek kata, terdapat pelbagai aneka lauk dan kuih tradisional yang boleh anda rasai dan nikmati ketika bercuti di Terengganu.

Jadi rancanglah percutian anda sebaik mungkin dan nikmati keindahan ciptaan alam semula jadi ini!

Leave a Reply