Solat Jumaat dan berjemaah di masjid mulai esok

0

Kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri amat berhati-hati dalam membuat keputusan berhubung pembukaan semula aktiviti di masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Malaysia.

Memetik kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, beliau berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru dalam memutuskan sesuatu yang akhirnya boleh membawa kepada pelbagai kemungkinan yang tidak diingini berlaku malah pelbagai aspek perlu dinilai satu persatu dengan teliti sebelum tindakan diambil seperti yang dikehendaki dalam Islam.

“Perlu saya ingatkan juga bahawa Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal lslam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.

“Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-6 yang bersidang pada 9 Jun lalu telah mencadangkan Garis Panduan Perluasan Kapasiti Solat Jumaat dan Solat Berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

TEKS SIDANG MEDIAYB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRIMENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) 11 JUN 2020

Posted by Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri on Thursday, 11 June 2020

“Justeru, cadangan Peluasan Kapasiti Solat Jumaat dan Solat Berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang saya nyatakan ini adalah satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing,” ujar beliau

Menurutnya, beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah melalui sidang video bagi tujuan mengangkat sembah cadangan Garis Panduan Perluasan Kapasiti Solat Jumaat dan Solat Berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wilayah Persekutuan.

“Alhamdulillah, Seri Paduka Baginda telah menzahirkan titah perkenan bagi cadangan terbabit.

“Bagi Wilayah Persekutuan, semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam Zon Hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bagi Solat Jumaat dan solat berjemaah dengan perluasan bilangan 1/3 daripada jumlah had kapasiti bagi dewan solat utama. Ini bermula dengan Solat Jumaat pada 12 Jun 2020 bersamaan 20 Syawal 1441H.

“Jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau boleh melantik sukarelawan dalam kalangan jemaah bagi membantu kawalan sebelum dan selepas solat,” katanya.

Beliau menambah, sistem penggiliran atau apa cara yang sesuai pada hemat jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau boleh dilaksanakan bagi memberi peluang kepada anak kariah lain untuk hadir, namun kapasiti ini akan ditambah secara berperingkat dengan makluman dari semasa ke semasa atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, beliau turut memaklumkan berita gembira buat semua muslimah ingin kembali turut serta beribadah di rumah Allah SWT.

“Muslimah juga dibenarkan untuk ke masjid, surau Jumaat dan surau dengan syarat bersama-sama dengan mahram.

“Manakala bagi warga emas, tidak ada had umur yang ditetapkan untuk hadir sebagai jemaah dengan syarat sihat tubuh badan namun bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, jemaah yang bergejala dan menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir buat masa ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, masjid turut dibuka di ruang tertentu untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir, pemandu dan rider perkhidmatan e-hailing yang mana pastinya ianya merupakan khabar gembira buat para musafir dan pemandu serta rider e-hailing.

“Selain itu, antara hal yang menjadi kegusaran saya sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan adalah keadaan para penceramah, ustaz dan ustazah yang mengajar sepenuh masa di masjid dan surau.

“Ramai juga jemaah yang merindukan kuliah-kuliah harian dan mingguan yang menyerikan rumah Allah SWT ini.

” Oleh itu, Kuliah Maghrib dan Kuliah Subuh boleh dijalankan semula dengan mematuhi beberapa syarat iaitu Kuliah Maghrib hendaklah dihentikan sebaik sahaja masuk waktu lsya’ manakala Kuliah Subuh boleh berlangsung sekitar 20 ke 30 minit sahaja. Jadi, masjid dan surau boleh kembali diimarahkan dengan lebih aktif,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan kepada jawatankuasa masjid, surau Jumaat dan surau bahawa jamuan makan selepas kuliah adalah tidak dibenarkan buat masa ini.

Tidak lupa kepada bakal pengantin yang akan berumah tangga, akad nikah juga sudah boleh dijalankan di masjid dan beliau turut dimaklumkan bahawa pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengeluarkan garis panduan yang lebih terperinci untuk makluman pihak jawatankuasa kariah masjid, Surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply