Drama “Kontra” gandingan mantap Jalil Hamid dan Tiz Zaqyah ke udara sempena Hari Bapa

0

Kasih ibu tiada tara,

Kasih ayah ke hujung nyawa.

Telemovie berjudul ‘KONTRA’ mengisahkan pasang surut hubungan kekeluargaan antara seorang ayah dan anak perempuannya.

Krew Produksi bersama Pengarah, Dak Seli

Nana, lakonan Tiz Zaqyah berperwatakan seorang anak yang degil dan mempunyai pendiriannya sendiri.

Ironinya Nana mempunyai dua watak berbeza di mana secara realitinya, Nana merasakan dirinya seorang yang gagal, bosan dan sebagainya.

Namun identiti bayangan sebaliknya ditonjolkan di media sosial.

Tiz Zaqyah berperanan sebagai Nana

Bekerja sebagai Pegawai Pemasaran di sebuah butik eksklusif, Nana mengalami masalah dan “stress” dengan tugasannya.

Namun apa yang digambarkan di laman sosial peribadinya pula berbeza, Nana kononnya gembira dengan kehidupan, kerjayanya.

Sedangkan bukan mudah untuk menjual batik dan songket yang ‘high end’, tambahan dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil.

Ditambah pula tekanan orang atasan, Dato XXXX, lakonan saudara Harun Hashim, menambahkan lagi tekanan dan kekusutan yang dilalui oleh Nana.

Puan Maria (Azza Elite) bersama pemilik perniagaan (Harun Hashim)

Ayah Nana, Pak Hamid (lakonan saudara Jalil Hamid) merupakan seorang pengusaha dan penenun songket yang mahir di kampung kelahirannya, Terengganu.

Pengarah, Dak Seli bersama teraju utama telemovie ‘Kontra’, Jalil Hamid memegang watak sebagai Pak Hamid

Pak Hamid dikenali ramai kerana kemahiran dalam menghasilkan tenunan songket yang cantik, kreatif dan teliti. Itu adalah kemahiran turun temurun keluarganya.

Pak Hamid terlalu menyayangi anaknya Nana. Walaupun anaknya jarang sekali bertanya khabar, Pak Hamid sentiasa mengikuti perkembangan anaknya di media sosial.

Pak Hamid sedar anaknya hanya menonjolkan kehidupan palsunya di media sosial.

Risau akan keadaan anak gadisnya seorang diri di ibu kota, secara diam-diam dia ke tempat kerja Nana dan menyamar sebagai pelanggan.

Benar telahan naluri seorang ayah, Nana sedang ‘kusut’ dengan tugasannya. Pada hematnya, Nana begitu tertekan sehingga berubah tidak seperti Nana yang dikenalinya.

Begitulah juga pada pandangan Pengurus butik, Pn Maria (lakonan Azza Elite) dan rakan rakan rapatnya, Michelle dan Sara.

Rakan sekerja Nana, Michelle dan Sara

Apabila menyedari akan kemunculan ayahnya, Nana sangat terkejut dan berasa tidak selesa. Padanya, kehadiran ayahnya akan mengganggu tugasan Nana di butik.

Pun begitu, Pak Hamid sangat disenangi oleh Puan Maria dan rakan-rakan sekerja Nana.

Malahan Puan Maria berhasrat untuk bertemu dan berbincang bertukar pendapat serta hala tuju bersama Pak Hamid yang berpengalaman dalam penghasilan songket asli Terengganu.

Bagaimanakah kesudahan drama kekeluargaan ini? Terputuskah kasih sayang kerana perbezaan pendapat? Kasih ayah, dapatkah memaafkan dan menerima anaknya kembali setelah hati seorang ayah mula terguris? Mampukah Nana berubah sikap demi seorang ayah?

Jangan lupa saksikan tayangan telemovie khas sempena Hari Bapa berjudul ‘KONTRA’ terbitan Nang Surya Studio di kaca televisyen yang akan bersiaran di saluran RTM 1 sempena Hari Bapa nanti 💝

-KONTRA-

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply