Sindiket tawar dua dos vaksin RM420 tumpas

0

KUALA LUMPUR : Cucuk dulu baru bayar RM420.

Itulah modus operandi yang digunakan satu sindiket penjualan vaksin untuk memperdaya orang ramai bagi menerima tawaran itu.

Ahli sindiket akan menghubungi mangsa melalui telefon secara rawak bagi membuat tawaran suntikan dua dos vaksin pada harga tersebut.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas polis berjaya memberkas seorang lelaki dan dua wanita berumur 23 hingga 50 tahun disyaki anggota sindiket yang bekerja sebagai juru jual di syarikat swasta.

Lapor media, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita yang bertugas sebagai Pegawai Penyelidik, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang mendapat maklumat wujud kegiatan penjualan vaksin.

Menurutnya, berdasarkan hasil risikan, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Putrajaya dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah membuat serbuan di Putrajaya dan Brickfields serta memberkas tiga individu berkenaan.

“Polis turut merampas enam buah telefon bimbit dan beberapa dokumen bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati, sindiket itu akan menghubungi mangsa (orang awam) melalui telefon oleh suspek secara rawak dan menawarkan RM420 bagi dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Mereka turut memberi jaminan bahawa bayaran hanya boleh dibuat selepas suntikan diberikan kepada pelanggan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Ketua Sekretariat CITF Persekutuan telah mengesahkan bahawa Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) tidak pernah memberi kelulusan kepada mana-mana pihak untuk menjual vaksin Covid-19.

Katanya, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply