Sindiket kenakan bayaran hampir RM15,000 kepada pelarian Rohingya – Hamzah Zainudin

0
Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamzah Zainudin menaiki bot Polis Marin, memeriksa laluan tikus di sekitar perairan Langkawi. Foto: KDN

LANGKAWI, 10 April — Sindiket yang membawa masuk 202 pendatang asing tanpa izin etnik Rohingya, yang ditahan berhampiran pantai sebuah pusat peranginan di Jalan Pantai Kok, Teluk Nibong di sini, minggu lepas, dipercayai mengenakan bayaran RM2,000 setiap orang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata bukan itu sahaja, sekiranya berjaya bolos masuk ahli keluarga pelarian yang sudah berada di negara ini perlu membuat bayaran tambahan RM13,000 lagi untuk mengambil mereka.

Beliau berkata rancangan untuk membawa masuk pelarian itu dipercayai sudah lama dirancang kerana sebahagian besar daripada mereka yang ditahan mempunyai ahli keluarga di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin sedang memeriksa sebuah bot nelayan di perairan Langkawi. Foto : KDN

“Pelarian perempuan yang beritahu tujuan mereka masuk untuk bertemu suami yang sudah ada di sini, ada juga sebahagian daripada mereka menyatakan sudah ada keluarga tinggal di negara ini tujuh atau lapan tahun. Ini bermaksud perancangan sudah lama dibuat melibatkan pelarian yang ditahan itu, sindiket, agen termasuk ahli keluarga mereka.

“Hasil soal siasat, kita dimaklumkan mereka telah membayar RM2,000 kepada sindiket di Cox Bazar, Bangladesh. Apabila sampai di sini jika ahli keluarga dapat ambil, mereka kena bayar RM13,000 kepada ejen jadi jumlah yang perlu dibayar ialah RM15,000, kita akan terus buru sindiket terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan untuk terima hukuman sewajarnya,” katanya di sini hari ini.

Foto : KDN

Hamzah berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, selepas menyertai pemantauan sekitar perairan pulau ini melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis serta Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Jamil Rakon, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Sebagai rekod, APMM Kedah dan Perlis telah menahan 202 orang terdiri daripada 152 lelaki, 45 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, Ahad lepas.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata KDN menerusi agensinya akan mempertingkatkan kawalan di perairan negara selepas mendapat maklumat ada beberapa buah kapal membawa pelarian etnik Rohingya akan memasuki perairan negara dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai perkara itu hasil soal siasat ke atas sebahagian pelarian etnik Rohingya itu yang kini ditempatkan di APMM Kedah, Perlis dan Bukit Malut.

“Kita mengetahui bahawa ini bukan kumpulan terakhir, daripada risikan serta soal siasat tadi mungkin ada dua atau tiga kumpulan lagi. Kita akan cuba cari kaedah dan saya akan berbincang dengan badan antarabangsa yang sepatutnya mengambil tahu mengenai isu ini daripada hanya bersikap berdiam diri dan lepas tangan kepada Malaysia supaya isu ini tidak menjadi masalah besar,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply