Sidang khas Parlimen dicadang sebelum 1 Ogos

0

Persidangan khas Parlimen dicadang diadakan sebelum 1 Ogos ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Cadangan itu dinyatakan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama sebentar tadi.

Menurut kenyataan itu, perkara berkenaan sudah dicadangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

“Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.

“Kedua-dua Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Timbalan Yang Dipertua kedua-dua dewan menjunjung titah baginda dan menyatakan komitmen serta kesediaan penuh Parlimen Malaysia mengadakan persidangan seperti dititahkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, titah Yang di-Pertuan Agong sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri.

“Adalah dicadangkan kepada Perdana Menteri supaya satu persidangan khas diadakan sebelum 1 Ogos mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply