Siasat dan dakwa segera kumpulan antivaksin  

0

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memohon pihak berkuasa menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap kumpulan antivaksin.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bertindak dengan membuat beberapa laporan polis terhadap beberapa kumpulan antivaksin.

Bagaimanapun, katanya, beberapa kumpulan antivaksin dilihat masih berterusan menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin COVID-19 hingga mengancam kesihatan awam.

“KKM sudah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin. Kami harap tindakan susulan, siasatan, pendakwaan dan lain-lain dapat disegerakan.

“Kumpulan ini terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Beliau membalas ciapan pakar perubatan keluarga KKM, Dr Sakinah Sulong, yang mempersoalkan sama ada kumpulan antivaksin di negara ini kebal daripada tindakan pihak berkuasa berikutan masih bebas menyebarkan dakwaan dan berita palsu.

“Mantan Perdana Menteri, Presiden UMNO pun turun naik mahkamah, tapi antivaksin ini lebih hebat lagi. Petik nama menteri sesuka hati. Tabur fitnah sana, No Action (tiada tindakan). Sampai bila?” katanya.

Dr Sakinah turut memuat naik tangkap layar dipercayai oleh kumpulan antivaksin di Telegram, yang antara lain mendakwa ada remaja yang disuntik vaksin COVID-19 mendapat kesan sampingan teruk dan meninggal dunia.

Jumaat minggu lalu, Khairy menerusi Twitter memaklumkan, KKM diminta membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) terhadap seorang individu yang didakwa menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin COVID-19.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply