Shuib kongsi wajah Ayash Affan selepas hampir dua bulan dilahirkan

0

“Assalamualaikum. Nama saya Ayash Affan Bin Shahmira. Terima kasih kerana mendoakan kesejahteraan saya”, demikian nukil Shuib Sepahtu di Instagramnya hari ini.

Pada hari Jumaat yang penuh barakah, buat pertama kali wajah anak bongsu Shuib Sepahtu bersama Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin dimuatnaik di Instagramnya buat tatapan umum.

Menerusi hantaran di Instagram, Shuib berkongsi klip video Ayash dalam pakaian dan buaian serba putih.

Sesekali dilihat dia menggeliat, menyerlahkan kecomelannya.

Alahai geramnya…

Untuk rekod, Siti Sarah kembali ke Rahmatullah pada 9 Ogos lalu akibat jangkitan COVID-19 setelah beberapa hari bertarung nyawa di hospital.

Allahyarham ditidurkan ketika operasi pembedahan melahirkan Ayash dilakukan kerana tahap oksigen yang semakin menurun.

Pada 14 September lalu, Ayash dibenarkan pulang ke rumah setelah menerima pemantauan dan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Ķuala Lumpur kerana dilahirkan pramatang.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10 tahun, Dzahira Talita Zahra, 8 tahun, dan Ariq Matin, 6 tahun.

Ruangan komentar menerima reaksi positif pengikut termasuklah rakan artis yang mendoakan agar Ayash membesar dengan sihat dan menjadi anak yang soleh.

Kami warga kerja The Malaya Post juga menitipkan doa agar Shuib diberikan kekuatan, kesabaran dan kesihatan agar dapat menjalankan tugas sebgai ayah dan ibu kepada empat cahayamata hasil perkongsian hidup bersama Allahyarham Siti Sarah.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply